Kuala Lumpur: Media Prima Berhad mencatatkan pendapatan terkumpul sehingga September 2014 sebanyak RM1.1 bilion dan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM106.7 juta dengan margin keuntungan selepas cukai sebanyak 9 peratus.

Berdasarkan perbandingan tahun terdahulu, Media Prima mencatatkan pendapatan dan keuntungan selepas cukai sebanyak 12 peratus dan 30 peratus lebih rendah, berikutan persekitaran operasi yang lebih mencabar dan sentimen berhati-hati pengiklan.

Bagi suku ketiga 2014 ini, Media Prima telah mencatatkan pendapatan sebanyak RM379.6 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM42.6 juta.

Pengerusi Media Prima Tan Sri Johan Jaaffar berkata, Media Prima akan terus kekal berdaya saing walaupun keadaan persaingan sengit, ketidakstabilan pasaran dan persekitaran operasi yang semakin mencabar.

“Kami kekal komited untuk terus memberikan pulangan yang kukuh kepada pemegang saham yang mana Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim kedua, dividen satu peringkat sebanyak 3.0 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014,”katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Johan, ketidakstabilan pasaran, sentimen pengguna yang lemah serta tragedi yang melibatkan penerbangan MH370 dan MH17 juga telah menyebabkan pengiklan menjadi lebih berhati-hati terhadap iklan yang ditempatkan dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, Media Prima telah menjangkakan 2014 adalah tahun yang mencabar dan menumpukan usaha untuk mengkaji semula serta meningkatkan kecekapan dalaman di samping menguruskan kos dengan lebih berkesan.

“Kumpulan akan terus menyediakan kandungan tempatan dan antarabangsa yang terbaik bertujuan untuk menembusi pasaran baru dan membina aliran pendapatan tambahan. Oleh kerana perniagaan dan keadaan pasaran yang mencabar, Media Prima akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi utama kepada pertumbuhan pengiklanan dalam baki tempoh tahun kewangan,” katanya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 November 2014 @ 5:04 AM