ANGGOTA penyelamat membawa mayat yang ditemui dalam runtuhan di Pedernales, Ecuador.
ANGGOTA penyelamat membawa mayat yang ditemui dalam runtuhan di Pedernales, Ecuador.
AFP

Manta (Ecuador): Gempa bumi dengan magnitud 6.2 sekali lagi menggegarkan kawasan pesisiran Ecuador awal pagi semalam mencetuskan panik penduduk tempatan selain menyukarkan usaha mencari mangsa terselamat dalam bencana besar Sabtu lalu yang membunuh hampir 500 orang.

Gegaran terbaru berlaku 25 kilometer dari Muisne di barat laut negara itu dengan kedalaman 15 kilometer, kata Agensi Pemantau Geologi Amerika Syarikat (USGS).

Ia berhampiran pusat gempa magnitud 7.8 Sabtu lalu. Orang ramai dikejutkan daripada tidur akibat dua gegaran selama 30 saat yang mencetuskan panik dan mengakibatkan mereka lari ke jalan raya.

Tiada amaran tsunami atau laporan kerosakan teruk.

Institut Geofizikal Ecuador berkata kejadian membabitkan dua gempa dengan magnitud 6.2 diikuti 17 gegaran susulan. Namun USGS melaporkan cuma satu gempa berukuran 6.1.

Sementara itu, semalam jumlah kematian akibat gempa bumi di Ecuador dibimbangi meningkat mendadak selepas pihak berkuasa memberi amaran 1,700 orang masih hilang.

Tiga hari selepas gempa bumi dengan magnitud 7.8 itu membadai pantai Pasifik Ecuador di zon yang popular dalam kalangan pelancong, 480 orang direkodkan maut, kata kerajaan kelmarin.

Anjing pengesan dan jentera pengorek masih giat mencari mangsa di bandar persisiran pantai seperti Pedernales dan Manta dengan bau mayat mereput semakin kuat akibat matahari yang terik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Diego Fuentes berkata: “Setakat ini 2,000 orang disenaraikan hilang, namun cuma 300 ditemui.”

Seramai 4,605 dilaporkan cedera, manakala Presiden Rafael Correa berkata, 54 orang ditemui selamat di celah runtuhan.

Kejadian itu gempa bumi paling buruk di Ecuador sejak lebih 40 tahun lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 8:06 AM