PENDUDUK di bandar Padang, Sumatera mencari perlindungan di kawasan tinggi selepas gempa melanda wilayah itu, kelmarin.
PENDUDUK di bandar Padang, Sumatera mencari perlindungan di kawasan tinggi selepas gempa melanda wilayah itu, kelmarin.
Reuters

Padang: Beberapa gegaran susulan dikesan awal pagi semalam selepas satu gempa bumi kuat melanda Indonesia pada petang kelmarin.

Gempa dasar laut berukuran 7.8 magnitud itu mencetus kebimbangan bencana serantau seperti gempa bumi di Lautan Hindi dan tsunami pada 2004 yang menyebabkan lebih 200,000 nyawa terkorban.

Tiada laporan kematian atau kerosakan susulan gempa kuat berkenaan yang mencetuskan panik di Padang.

Ribuan penduduk di Padang bergegas melarikan diri menuju ke kawasan tinggi selepas amaran tsunami dikeluarkan, tetapi ditarik balik tidak lama selepas itu.

Kehidupan kembali normal di Padang yang mempunyai kira-kira satu juta penduduk semalam dan tiada sebarang kesan kerosakan kelihatan.

Agensi Meteorologi Kebangsaan memberitahu, enam gegaran susulan dikesan pada malam kelmarin, tetapi menasihati penduduk supaya bertenang kerana gegaran semakin melemah.

Jurucakap Badan Bantuan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho berkata, tiada tsunami, kematian atau kerosakan dilaporkan dan semua penduduk kembali ke rumah masing-masing.

Ketakutan tercetus pada petang kelmarin selepas gempa bumi itu dilapor berukuran 8.2 magnitud dan pihak berkuasa mengeluarkan arahan pemindahan di pembesar suara, radio dan televisyen.

Pesakit di hospital di Padang juga dipindahkan dan kesesakan luar biasa berlaku di jalan raya apabila ramai penduduk menyelamatkan diri.

Bagaimanapun, Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) menurunkan kekuatan gempa itu kepada 7.8 magnitud dan dalam tempoh dua jam semua amaran tsunami dibatalkan.

USGS memberitahu, pusat gempa itu dikesan pada kedalaman 24 kilometer kira-kira 808 kilometer dari barat daya Padang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2016 @ 7:15 AM