ZAINAL Abidin.
ZAINAL Abidin.
BARISAN pemuzik MPO yang akan mengiringi persembahan Zainal.
BARISAN pemuzik MPO yang akan mengiringi persembahan Zainal.
Syanty Octavia Amry


Penyanyi terkenal Zainal Abidin bakal menggegarkan pentas Dewan Filharmonik PETRONAS (DFP), Kuala Lumpur buat kali ketiga pada 6 dan 7 Mei ini bermula jam 8.30 malam.

Konsert yang turut menampilkan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) itu bakal menyaksikan Zainal menyanyikan rangkaian lagu popularnya seperti Hijau, Ikhlas Tapi Jauh dan Manis.

Pemilihan Zainal untuk konsert bersama MPO ini tepat berikutan dia sendiri antara figura besar dalam industri muzik tempatan selain memiliki album berkualiti sepanjang kariernya sebagai penyanyi sejak 30 tahun lalu.

Selain Zainal, antara penyanyi yang pernah mengadakan persembahan bersama MPO ialah Tan Sri SM Salim, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Datuk M Nasir, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Ramli Ibrahim.

Berkongsi latar belakang pembabitannya dalam bidang seni, Zainal memulakan langkah dalam industri muzik sebagai penyanyi kelab malam sebelum mencipta nama sebagai penyanyi utama kumpulan Headwind.

Dengan minat yang mendalam untuk genre ‘world music’, Zainal mengorak langkah sebagai penyanyi solo dengan mengeluarkan album solo pertamanya pada 1991 terbitan Roslan Aziz Productions (RAP).

Selain lagu hebatnya, album kompilasi berjudul Ikhlas bersama artis-artis RAP yang lain seperti Sheila Majid, Zubir Ali, Afdlin Shauli, Azman Warren dan Amir Yusof juga berjaya dan disusuli dengan konsert besar-besaran di Stadium Merdeka pada 1992 yang dihadiri lebih 45,000 penonton.

Interprestasi muzik daripada MPO untuk lagu Zainal seperti Bongkar, Manis, Kau Di Hatiku, Debu Liar, Inayah, Puteri, Damai dan Hijau pasti memuaskan halwa telinga anda.

Selain itu, persembahan ini juga akan menyajikan lagu rakyat dan lagu dari era kegemilangan Headwind yang pasti akan menggamit nostalgia.

Lagu berkenaan digubah semula dan diberi nafas baru oleh penggubah seperti Ahmad Muriz Che Rose, Vivian Chua, Syed Shahrir Faisal, Luqman Aziz, Sham Zin dan Leonard Yeap.

Maklumat lanjut mengenai tiket hubungi 03-23317007.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 8:51 AM