V SHEM (kanan), Wee Kiong janji beri tentangan sengit di Wuhan.
V SHEM (kanan), Wee Kiong janji beri tentangan sengit di Wuhan.
myMetro

Kuala Lumpur: Selepas dua kali berturut-turut dikecewakan oleh beregu Korea Selatan Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong pada pusingan kedua Terbuka Malaysia dan Singapura, pemain beregu lelaki negara, Goh V Shem bertekad untuk bangkit semula pada Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, minggu depan.

V Shem berkata, prestasi mereka belum cukup bagus ketika beraksi di dua kejohanan itu dan perlu mempersiapkan diri dengan lebih mantap menjelang aksi di Wuhan.

“Kami sedar tahap permainan kami dengan Yong Dae-Yeon Seong masih jauh berbeza. Kami perlu memantapkan diri dalam latihan untuk bersaing dengan mereka,” katanya ketika ditemui di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Jelasnya, kelemahan paling ketara yang harus diperbaiki adalah tahap konsisten mereka ketika beraksi di gelanggang.

“Kami harus menumpukan sepenuh perhatian bagaimana untuk memperbaiki kelemahan iaitu kekal konsisten dalam gelanggang, terutama selepas melihat undian yang sukar di ABC.

“Di Wuhan kami akan berdepan pilihan keempat dari China, Fu Haifeng-Zhang Nan pada pusingan kedua. Mereka pasangan yang sama kuat seperti Yong Dae-Yeon Seong,” kata pemain dari Kuala Lumpur itu.

Bagaimanapun, V Shem yang berpasangan dengan Tan Wee Kiong berjanji untuk memberikan tentangan sengit, seterusnya mara ke peringkat lebih jauh.

V Shem-Wee Kiong terlebih dulu akan melayan pasangan Singapura, Terry Hee-Loh Kean Hean pada pusingan pertama kejohanan dari 26 April hingga 1 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 7:30 AM