Kuala Lumpur: Dua beregu negara menjadi wira apabila mengutip mata untuk membolehkan Malaysia mengejutkan Korea Selatan 3-2 pada perlawanan pertama Kumpulan D saingan Piala Sudirman di Dongguan, China semalam.

Gandingan Goh V Shem-Tan Wee Kiong memberi petanda baik kepada skuad negara apabila mempamer aksi terpuji dengan mengejutkan gandingan nombor satu dunia Lee Young Dae-Yoo Yeon Seong 20-22, 14-21, 25-27.

Young Dae-Yeon Seong yang baru saja melakar kemenangan pada Kejohanan Badminton Asia, diberi saingan cukup sengit oleh pasangan negara terutama di set penentuan pada saingan yang memakan masa satu jam 18 minit itu untuk membolehkan Malaysia mendahului 1-0.

Gandingan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (gambar) pula muncul wira dengan mengutip mata kemenangan ketika keputusan terikat 2-2 selepas menewaskan Kim Ha Na-Ko Sung Hyun 23-21, 21-13.

Sementara itu seperti dijangka, perseorangan wanita negara Lim Yin Yun gagal memberikan saingan apabila tewas mudah kepada Sung Ji Hyun 21-9, 21-7.

Lee Chong Wei yang kembali beraksi buat kali pertama selepas memenuhi hukuman penggantungan lapan bulan berikutan kegagalan ujian doping, ternyata masih mempunyai sentuhan juara.

Berdepan Lee Dong Keun, Chong Wei yang juga bekas pemain nombor satu dunia dilihat tercari-cari rentak pada awal permainan tetapi mula mempamerkan aksi cemerlang untuk menewaskan Dong Keun 21-12, 21-10 dalam tempoh 44 minit.

Harapan untuk menyaksikan beregu wanita negara Vivian Hoo-Woon Khe Wei meraih mata kemenangan skuad negara lebur selepas mereka tewas mudah di tangan Chang Ye Na-Jung Kyung Eun 20-22, 9-21 namun Peng Soon-Liu Ying hadir memberi mata kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2015 @ 7:52 AM