Kuala Lumpur: Pemain beregu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong tidak berdepan masalah melepasi pusingan pertama Seluruh England 2015 apabila menumpaskan pasangan Jerman, Fabian Holzer-Mark Lamsfuss semalam.

Beregu utama negara itu hanya mengambil masa 28 minit untuk kemenangan 21-13, 21-14 seterusnya mara ke pusingan kedua kejohanan bertaraf Siri Super Premier itu.

Menurut V Shem, perlawanan itu tidak begitu sukar, tetapi menjangkakan saingan pusingan kedua hari ini sangat mencabar.

V Shem-Wee Kiong yang meraih gangsa Sukan Asia 2014 Incheon berdepan tugas berat pada pusingan kedua kerana dijangka bertemu pilihan utama dari Korea Selatan, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong.

“Semua berjalan lancar untuk kemenangan pertama kami,” katanya.

Pasangan Korea Selatan itu beraksi lewat malam tadi menentang wakil Denmark Mads Conrad Petersen-Mads Pieler Kolding dan dijangka tidak berdepan masalah besar untuk menang.

Berikutan tiada wakil dalam acara perseorangan lelaki menyebabkan tumpuan terarah kepada V Shem-wee Kiong yang cuba menamatkan kemarau gelaran tujuh tahun beregu lelaki.

Gandingan bekas pemain Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Koo Kien Keat-Tan Boon Heong menjadi pasangan terakhir negara melakukannya pada 2007.

Bagaimanapun, beregu wanita negara Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho terkandas di pusingan pertama apabila kalah kepada
wakil India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa.

Pujian harus diberikan kepada pasangan ini yang mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum tumpas 12-21, 22-20, 21-14 dalam masa 51 minit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:00 AM