MERCEDES-BENZ A200.
MERCEDES-BENZ A200.
KOMPAK gaya premium.
KOMPAK gaya premium.
PADANAN rim menarik.
PADANAN rim menarik.
BUT belakang yang luas.
BUT belakang yang luas.
ENJIN yang mantap dan jimat minyak.
ENJIN yang mantap dan jimat minyak.
RUANG kabin lebih kemas dan ringkas.
RUANG kabin lebih kemas dan ringkas.
SISTEM hiburan lebih besar bersaiz lapan inci.
SISTEM hiburan lebih besar bersaiz lapan inci.
STERENG dilengkapi pelbagai butang dengan pedal penukar gear.
STERENG dilengkapi pelbagai butang dengan pedal penukar gear.
Erywan Norshal


Dalam keluarga kenderaan Mercedes-Benz, model A-Class boleh dikatakan sebagai adik bongsu kepada jentera keluaran Jerman kerana memiliki bentuk kecil dan tampak comel.

Pada awal pembikinannya, generasi A-Class boleh diibaratkan sebagai kenderaan pelbagai guna (MPV) tetapi memiliki bentuk yang kecil dan sedikit tinggi.

Namun, apabila memasuki generasi ketiga, tiada lagi bentuk MPV kompak yang kelihatan pada Mercedes-Benz A-Class. Jelasnya, generasi ketiga yang diperkenalkan pada 2012 memiliki garisan beralun sekali gus tampak lebih menarik, sporty dan moden.

Bagi pasaran tempatan, Mercedes-Benz Malaysia Sdn Bhd (MBM) menawarkan empat varian model A-Class membabitkan A 180, A 200, A 250 Sport dan Mercedes-AMG A 45 4Matic. Lantas, tidak hairan model A-Class menjadi pendahulu pasaran segmen kereta premium di negara ini.

Namun, Mercedes-Benz A200 yang menghiasi ruangan Pandu Uji minggu ini adalah model dipertingkatkan selepas diperkenalkan Mac lalu dengan sedikit perubahan supaya menyalurkan imej lebih segar.

Model A-Class yang dipertingkatkan kini hadir lebih bergaya terutama pada bahagian hadapan. Lampu hadapan rekaan baharu dengan teknologi LED yang juga dilengkapi jeriji berbentuk berlian.

Lampu belakang menerima sentuhan terkini dilengkapi ekzos berkembar tampak lebih sporty dan dinamik. Bahagian dalamannya masih menerapkan konsep rekaan terdahulu tetapi dikemas kini dengan paparan sistem maklumat hiburan lebih besar bersaiz lapan inci.

Bagi kenderaan yang dipandu uji ini, buka sahaja pintu, anda akan disambut dengan warna gelap pada bahagian tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka. Ia diselang-selikan dengan beberapa bahagian berwarna hitam dan krom.

Kemasan dalaman diperhalusi dengan material baharu, selain tempat duduk hadapan boleh dilaras sedalam 60 milimeter.

Kenderaan lima tempat duduk ini menyediakan ruang yang mencukupi dan selesa bagi semua penumpangnya. Ini kerana, tempat duduk hadapannya selesa kerana mengikut bentuk badan dan diapit pada bahagian sisi.

Menariknya, tempat duduk itu direka berlekuk pada bahagian belakang untuk memberikan ruang kaki tambahan pada penumpang di belakang. Ruang but belakang agak luas untuk memuatkan barangan dan berbeza dengan kenderaan kompak lain.

Bagi kereta premium ini, ia menggunakan enjin 1,595cc dipadankan dengan kotak gear automatik tujuh kelajuan. Mungkin kedengaran seperti kecil, tetapi dengan teknologi turbo penyampaian kuasa lebih mantap dengan menawarkan 154hp pada 5,300rpm.

Prestasi disalurkan dianggap terbaik untuk pemanduan sama ada santai atau agresif, malah berdaya memecut 224 kilometer sejam (km/j).

Selain itu, ia hadir dengan mod pilihan pemanduan membabitkan ‘Comfort’, ‘Sport’, ‘Eco’ dan ‘Individual’. Sistem itu juga boleh diubah menggunakan Pilihan Dinamik yang menyelaras penalaan enjin, transmisi, stereng dan penyaman udara mengikut kehendak pemandu.

Jika mahu lebih penjimatan, boleh menggunakan sistem ‘Eco Start/Stop’ yang mematikan enjin apabila tidak bergerak dan hidup semula apabila brek dilepaskan, boleh digunakan.

Pada pendapat penulis, ia tidak begitu mengganggu kerana enjin dapat dihidupkan dengan pantas.

Dari segi pengendaliannya, penulis memberi sepenuh kepercayaan pada jentera hatchback ini yang sungguh mantap di selekoh tanpa rasa gerun kerana dikawal teknologi canggih untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

Cuma penulis rasa sistem suspensinya sedikit keras tetapi tidaklah terlalu menyeksakan bagi menyesuaikan ciri pemanduan yang mantap.

Secara keseluruhan, jentera ini dianggap terbaik kerana memiliki karakter sporty serta enjin bertenaga.

INFO

MERCEDES-BENZ A200

- Enjin: 1,595cc, empat silinder sebaris

- Kuasa maksimum: 154hp pada 5,300rpm

- Tork maksimum: 250Nm antara 1,250 sehingga 4,000rpm

- Transmisi: Automatik tujuh kelajuan 7G-DCT

- Ciri keselamatan: Beg udara ABS, BA, Program Kestabilan Elektronik, Sistem Amaran Perlanggaran, Sistem Amaran Kesuntukan Angin Tayar dan Isofix

- Harga: RM205,888.00 tanpa insurans

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Jun 2016 @ 5:03 AM