Murni Wan Omar


Kuala Lumpur: Mahkamah Sesyen di sini, sebentar tadi menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan terhadap aktivis, Haris Fathillah Mohamed Ibrahim selepas didapati bersalah atas pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramah pada 13 Mei 2013.

Hakim Shamsudin Abdullah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Menurutnya, pembelaan yang dikemukakan oleh Haris adalah penafian semata-mata dan tertuduh mempunyai kecenderungan untuk menghasut.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara bermula hari ini bagaimanapun membenarkan permohonan Haris Fathillah untuk menangguhkan hukuman itu untuk membolehkan dia mengemukakan rayuan.

Oleh itu, mahkamah menaikkan jaminan yang dikenakan terhadapnya iaitu daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Haris Fathillah sebelum ini bersama lima lagi aktivis propembangkang lain didakwa memberi ucapan menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang, dengan cara tidak sah.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi, antara jam 8.55 malam dan 11.15 malam pada 13 Mei 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 April 2016 @ 12:17 PM