Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Naib Presiden PKR, Tian Chua dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas didapati bersalah memberi ucapan berbaur hasutan tiga tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Tian Chua atau Chua Tian Chang gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan Tian Chua dikenakan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda itu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Tian Chua untuk menangguhkan hukuman itu bagi membolehkan pihaknya mengemukakan rayuan.

Pada 29 Mei 2013, Tian Chua didakwa memberi ucapan dalam ceramah dengan menyebut kata-kata menghasut bagi membangkitkan rakyat negara ini supaya mengubah kerajaan yang tertubuh mengikut undang-undang dengan cara yang tidak sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di Nombor 1, Jalan Maharajalela, Dang Wangi di sini antara 8.55 malam dan 11.15 malam, 13 Mei 2013.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 (Akta 15) dan boleh dihukum menurut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 September 2016 @ 3:32 PM