ANAK buah Koeman perlu tonjol aksi istimewa buru slot Liga Juara-Juara.
ANAK buah Koeman perlu tonjol aksi istimewa buru slot Liga Juara-Juara.

London: Pemburuan Southampton mendapatkan slot Liga Juara-Juara berdepan cabaran getir dalam tempoh 10 hari akan datang bermula dengan kunjungan juara bertahan Liga Perdana, Manchester City, malam ini.

Kelab dari pantai selatan itu mengenepikan kebimbangan pramusim mengelak penyingkiran berikutan penjualan beberapa pemain utama dengan membuat permulaan cemerlang terbaik musim Liga Perdana dengan melonjak ke tangga kedua dalam kedudukan liga.

Skuad kendalian Ronald Koeman sudah memenangi lapan daripada 10 perlawanan terakhir, hanya tercicir mata ketika tewas 0-1 dengan Tottenham Hotspur dan seri 1-1 menentang Aston Villa, Isnin lalu.

Dengan rekod hanya melepaskan enam gol daripada 12 perlawanan, kurang lima gol berbanding pasukan lain, mereka kini muncul pencabar terkuat buat pendahulu Chelsea yang memiliki kelebihan enam mata.

City hanya ketinggalan dua mata di tangga ketiga dan Southampton berdepan jadual berkunjung ke Arsenal, Rabu depan sebelum menanti kunjungan Manchester United pada 8 Disember, empat pasukan memiliki reputasi hebat yang bakal menjadi ujian sukar.

“Kami akan berdepan salah satu pasukan yang mampu menjulang gelaran liga hari ini dan kami perlu bermain lebih baik berbanding menentang Aston Villa,” kata Koeman.

“Kami akan menunjukkan kualiti aksi sekali lagi. Jika kami mahu melakukan sesuatu istimewa musim ini, kami perlu memenangi perlawanan.”

Bekas pemain antarabangsa Belanda itu berkata: “Kami bermain 12 perlawanan dalam Liga Perdana setakat ini.

“Saya tidak melihat ada pasukan lebih baik berbanding kami dalam 12 perlawanan dan sudah berdepan Liverpool dan Tottenham. Kita akan lihat keputusan perlawanan hari ini.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:06 AM