Reuters

London: Aksi berikutnya bagi musim turun naik Arsenal menampilkan pertembungan jiran setempat utara London menentang Tottenham Hotspur ketika pengurus Arsene Wenger berharap pasukannya boleh mengekalkan rentak terbaik liga domestik dan melupakan kekecewaan di Eropah.

Dalam Liga Perdana Inggeris, anak buah Wenger berjaya menempelak pengkritik, yang menjangkakan kempen sukar selepas pengendali Perancis itu gagal membeli sebarang pemain senior ternama ketika jendela perpindahan musim panas.

Berbekal 25 mata daripada 11 perlawanan, mereka ketinggalan di belakang pendahulu Manchester City hanya berdasarkan perbezaan gol dan akan berdepan musuh tradisi Ahad ini, selepas menang lima perlawanan Liga Perdana terakhir mereka.

Sekalipun tewas mengejut 0-3 di tangan Sheffield Wednesday dalam Piala Liga minggu lalu, mereka berada di landasan terbaik untuk mencabar kejuaraan.

Bagaimanapun kempen mereka di Eropah terlalu hambar dan dibuktikan dengan kekalahan besar 1-5 kepada Bayern Munich awal pagi semalam.

Kekalahan ketiga dalam empat perlawanan Liga Juara-Juara menyaksikan mereka di tangga tercorot Kumpulan F.

Arsenal tidak kalah di laman sendiri kepada Tottenham selama lima tahun. Spurs hanya menang sekali daripada 22 kunjungan terakhir Liga Perdana ke utara London dan sudah kalah pertembungan Piala Liga antara kedua-dua pasukan musim ini.

Namun Tottenham bimbingan Mauricio Pochettino lebih optimis berbanding biasa bagi kunjungan ke Stadium Emirates kali ini.

Prestasi mereka memberangsangkan, tidak kalah dalam 10 perlawanan liga sejak tumpas kepada Manchester United pada hari pertama musim dan melonjak ke tangga kelima carta, lima mata di belakang pendahulu.

Spurs boleh melonjak ke tangga ketiga jika mereka berjaya menamatkan badi di Emirates dan Arsenal perlu menang untuk terus mencabar Manchester City, yang berdepan kelab tercorot Aston Villa, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 1:57 PM