PEMAIN Kelantan Khairul Izuan Rosli dihalang pemain pertahanan Terengganu Vincent Bikana (kanan) pada perlawanan  Liga Super, kelmarin.
PEMAIN Kelantan Khairul Izuan Rosli dihalang pemain pertahanan Terengganu Vincent Bikana (kanan) pada perlawanan Liga Super, kelmarin.
Maiamalina Mohamed Amin dan Azlan Hafeedz


Kota Bharu: Tajaan sebanyak RM16 juta diterima daripada ahli perniagaan produk kecantikan berjaya Datuk Seri Dr Hasmiza Othman membuka tirai pasukan Kelantan untuk musim ini dengan cerita yang manis.

Macam-macam dilakukan Datuk Seri Dr Hasmiza atau popular dengan gelaran Dr Vida untuk menyuntik imej baharu pasukan itu termasuklah menukarkan namanya kepada Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW).

Aura kecemerlangan produk Pamoga Qu Puteh keluaran syarikatnya Vida Beauty Sdn Bhd diharap melekat terus dengan pasukan Kelantan membolehkan pemain beraksi cemerlang pada setiap perlawanan.

Malangnya, hampir menutup tirai pusingan pertama Liga Super bulan depan, PQPTRW dilihat masih belum menemui rentak ‘juara’ dan hingga perlawanan menentang Terengganu, kelmarin, skuad kendalian K Devan itu sekadar selesa di kedudukan kelima.

Walau menang 3-0 kerana semangat dan kelebihan bermain di laman sendiri, mata terkumpul untuk Kelantan, jauh tersasar daripada pendahulu liga FELDA United yang mengutip 21 mata berkongsi dengan Johor DT.

Kini, kemelut baharu pula tercetus apabila Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa tidak berminat untuk mempertahankan kerusi berkenaan dan mahu melepaskannya selepas meneraju sejak 2009.

Nama Dr Vida disebut-sebut mengambil alih kerusi itu, namun wanita bercita-cita tinggi itu mengatakan tidak bersedia untuk meneraju KAFA selain mempunyai empayar perniagaan yang perlu diuruskan.

“Saya langsung tidak berhajat bertanding. Sakit kepala kalau bertanding jawatan itu selain saya bimbang tidak mampu memberikan komitmen 100 peratus.

“Saya perlu menjaga perniagaan saya dahulu dan banyak lagi yang perlu saya lakukan untuk kembangkan bisnes saya.

“Selaku penaja Kelantan, saya cuma mahukan pasukan ini terus cemerlang dan buktikan kemampuan menjadi gergasi Pantai Timur seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, beliau mengaku kecewa apabila prestasi PQPTRW tidak secemerlang yang diharapkan dan menggesa seluruh jentera pasukan itu untuk bangkit.

“Kekalkan momentum atau saya tarik diri (daripada menjadi penaja)!” katanya.

Bagi Annuar sendiri, sepanjang menerajui KAFA, sudah banyak usaha dilakukannya untuk menaikkan skuad PQPTRW, malah pasukan itu mampu mengecapi beberapa kejuaraan di bawahnya.

Kelantan membawa pulang tiga piala pada 2012 iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Liga Super, sebelum prestasinya merudum sehingga kini.

Dalam entri Facebooknya, pemimpin itu meluahkan kekesalannya apabila ada pihak yang menghadiahkan kata-kata negatif kepada pengurusan KAFA sedia ada dan suara luar yang tidak sabar memasukkan pengurusan baharu.

“Di saat anda berjuang serta pengurusan berhempas-pulas menghidupkan sebuah kelab yang serba kurang, anda (pemain) dikelilingi dan dihadiahkan kata nista.

“Syukur kita masih terus berjuang ketika sesetengah pasukan yg mewah dan kuat berada jauh di bawah daripada kita. Bersabar dan berusahalah kerana Allah menentukan selebihnya.

“Tiada siapa yang mahu gagal. Saya memahami anda. Syabas sekali lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 9:53 AM