WAN Abdul Rahim
WAN Abdul Rahim

Kuala Lumpur: Majoriti pegawai, pemain dan bekas pemain Kelantan sanggup menerima pembayaran tunggakan gaji secara ansuran bagi membantu menyelesaikan masalah itu yang berlarutan sejak 21 tahun lalu.

Malah, ada antara mereka bersetuju menandatangani surat perjanjian pembayaran tunggakan secara bulanan untuk tempoh sehingga 10 bulan supaya pasukan terbabit tidak menghadapi masalah memohon lesen kebangsaan dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi menghadapi musim 2020.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, pihaknya sudah mencapai kesepakatan bersama pemain dan pegawai pasukan untuk membuat pembayaran secara ansuran memandangkan peruntukan kewangan yang diterima persatuan itu belum mencukupi.

Beliau berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan masalah kewangan pasukan termasuk melakukan penstrukturan semula hutang membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan beberapa tunggakan lain.

“Kami sudah berunding dengan LHDN dan pihak terbabit bersetuju KAFA hanya perlu membayar RM114,000 dalam masa terdekat ini daripada jumlah tunggakan keseluruhan lebih RM1 juta.

“Pemain dan pegawai pasukan pula bersetuju KAFA membayar mereka secara ansuran sehingga semua tunggakan gaji selesai dan ketika ini hutang tertinggi adalah membabitkan pemain import.

“Pembayaran pertama akan dilakukan pada 15 September depan secara berperingkat, mungkin ada yang selesai dalam tempoh empat bulan saja, malah paling lama pun 10 bulan,” katanya, di sini.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Kelantan bakal ‘merdeka’ daripada segala hutang apabila pasukan daripada pantai timur itu menerima suntikan dana kira-kira RM3 juta selepas KAFA menjual 70 peratus saham Team Red Warrior (TRW) Sdn Bhd kepada MQ Teknologi Berhad.

TRW Sdn Bhd ditubuhkan untuk menguruskan pasukan Kelantan dengan badan bola sepak induk negeri itu hanya memegang 30 peratus saja saham syarikat terbabit.

Menerusi penjualan saham terbabit, KAFA selepas ini tiada lagi kuasa dalam pengurusan pasukan bola sepak Kelantan seterusnya akan menumpukan kepada pembangunan akar umbi untuk membentuk ‘ubi muda’ berkualiti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 5:00 AM