PEMBERI pinjaman wang, G Ari Chandran 44, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan gagal mematuhi Akta Pemberi Pinjaman Wang 1961, antara 2009 hingga April lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
PEMBERI pinjaman wang, G Ari Chandran 44, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan gagal mematuhi Akta Pemberi Pinjaman Wang 1961, antara 2009 hingga April lalu di Mahkamah Majistret Johor Bahru. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Seorang pemberi pinjaman wang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas enam pertuduhan gagal mematuhi Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951, antara 2009 hingga April lalu.

Tertuduh, G Ari Chandran, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keenam-enam pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa memberi pinjaman wang antara RM2,000 hingga RM60,000 kepada tiga peminjam, tetapi tidak memberikan perjanjian pinjaman yang dibuat kepada mereka.

Pertuduhan keempat hingga keenam pula, dia didakwa mengenakan kadar faedah antara 72 peratus hingga 344.4 peratus pada jumlah pinjaman itu sedangkan dia mengetahui kadar faedah yang dikenakan tidak boleh melebihi antara 12 hingga 18 peratus.

Semua perbuatan itu dibuat di sebuah syarikat di Jalan Lembah 18, Bandar Seri Alam, Masai di sini, antara 2009 hingga April 2016.

Pertuduhan pertama hingga ketiga dibuat mengikut Seksyen 16(2) APPW 1951 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara 12 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Manakala, pertuduhan keempat hingga keenam, dia didakwa mengikut Seksyen 17A APPW 1951 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara maksimum 18 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkam 29 Ogos ini untuk sebuatan semula kes bagi serahan dokumen.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, manakala tertuduh diwakili peguam M Vinod.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2016 @ 1:17 PM