Naskhah al-Quran yang ada kesilapan dilupuskan dengan dibakar manakala abunya dibuang ke laut. - Foto Fail
Naskhah al-Quran yang ada kesilapan dilupuskan dengan dibakar manakala abunya dibuang ke laut. - Foto Fail
BERNAMA

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 135,970 teks dan 5,299 bahan al-Quran bernilai RM430,337.73 sejak 2015 hingga 29 Februari lalu.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata rampasan itu hasil 2,329 operasi di 10,021 premis pencetakan dan jualan al-Quran.

Antara kesalahan yang sering dilakukan mengikut Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 ialah mencetak teks al-Quran tanpa lesen, mengimport al-Quran tanpa kelulusan dan bahan al-Quran mengandungi kesilapan.

"KDN sentiasa peka dan prihatin terhadap pencetakan dan pengedaran bahan dan teks al-Quran yang boleh memudaratkan kesejahteraan rakyat dan usaha berterusan akan dilaksanakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Berdasarkan APTQ 1986, KDN berperanan mengawal dan memastikan bahan dan teks Al-Quran yang diterbit, dicetak, diimport dan diedar dalam negara tidak mengandungi kesilapan yang boleh menjejaskan al-Quran serta memastikan kesahihan dan mencegah penyelewengan bahan dan teks al-Quran.

Jika orang ramai mendapati adanya bahan atau teks al-Quran mengandungi kesalahan atau tidak mendapat perakuan Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan Al-Quran (LPPPQ) KDN, mereka boleh membuat aduan dengan menghubungi 03-88868047 atau faks ke 03-88891682 atau melalui laman web moha.spab.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 April 2016 @ 7:31 PM