Hamidah dan ibunya, Umi Rasyidah di depan hotel penginapan sebelum berangkat ke KLIA2 hari ini (gambar kiri) manakala gambar kanan, Hamidah mencium pipi bapanya, Nadjib Mustahar, 53. - Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED
Hamidah dan ibunya, Umi Rasyidah di depan hotel penginapan sebelum berangkat ke KLIA2 hari ini (gambar kiri) manakala gambar kanan, Hamidah mencium pipi bapanya, Nadjib Mustahar, 53. - Foto ISKANDAR SHAH MOHAMED
Iskandar Shah Mohamed


Kuala Lumpur: Nur Hamidah Nadjib, 24, mangsa tragedi Highland Towers berasa dukacita dengan kematian wira penyelamatnya, N Yogaraja, 51, yang maut dalam kemalangan di Puchong, awal pagi tadi.

Lebih memilukan apabila dia dan ibunya, Umi Rasyidah Khoiruman, 43, akan pulang ke Surabaya, Indonesia, hari ini selepas seminggu berada di negara ini untuk dipertemukan dengan mereka yang terbabit dalam operasi menyelamat dua beranak itu 23 tahun lalu.

Menurut Hamidah, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kemalangan itu oleh seorang pegawai bomba pagi tadi.

"Saya dan ibu (Umi) terasa baru saja beramah mesra dengan beliau (Yogaraja) dan tidak menyangka kepulangan kami ke Indonesia disertai dengan berita sedih itu.

"Kami sekeluarga amat berduka cita dan mendoakan roh mendiang dirahmati. Jasa baktinya tidak akan kami lupakan sampai bila-bila," katanya ketika ditemui di sebuah hotel di sini, sebentar tadi.

Dua beranak itu dijangka berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada jam 4.30 petang ini.

Dalam kejadian jam 2 pagi tadi, Yogaraja yang menunggang motosikal bersendirian, dipercayai terbabas melanggar besi pembahagi jalan di persimpangan dari Bandar Kinrara menghala Taman Sri Manja Puchong. Dia meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 April 2016 @ 3:32 PM