Norhadiani Baharom (Yang mengikuti percutian juara Gegar Vaganza 2Siti Nordiana ke MadridSepanyol tajaan MyCentrio Holidays dan baru-baru ini.)


Sudah lama Siti Nordiana, 31, berhasrat menemui dua peminat setianya yang menetap di Sao Paolo, Brazil.

Namun jarak yang memisahkan di antara Malaysia dengan negara itu membuatkan agak mustahil untuk dia bertemu peminatnya itu.

Bagaimanapun, kemenangan Siti Nordiana atau mesra dengan panggilan Nana dalam program Gegar Vaganza musim ke-2 Disember lalu merealisasikan impian Nana bertemu dengan peminat warga Brazil yang juga pasangan suami isteri itu.

Menerusi kemenangan itu, Nana ditawarkan pakej percutian ke Madrid, Sepanyol tajaan MyCentrio Holidays dan syarikat terbabit turut menawarkan pakej percutian kepada peminat Nana yang mahu bercuti bersamanya di Madrid.

Kesempatan itulah diambil pasangan suami isteri terbabit iaitu Omar Ahmad Taira, 38, dan Aishah, 38, membeli pakej percutian berkenaan.

Akhirnya bandar raya terkenal di Eropah itu menjadi saksi pertemuan mereka, baru-baru, ini sekali gus menyatukan silaturahim di antara Nana dengan peminatnya yang juga saudara baru.

Tindakan pasangan suami isteri warga Brazil berketurunan Jepun itu yang sanggup terbang ke Madrid semata-mata untuk bertemu dengannya membuatkan Nana diselubungi rasa terharu dan bangga.

“Sebagai doktor gigi yang memiliki klinik sendiri, mereka cukup sibuk. Namun, usaha mereka mengambil cuti dan membeli pakej percutian semata-mata mahu bertemu dengan saya, satu pengorbanan yang sungguh murni.

“Apatah lagi mereka baru setahun memeluk Islam dan perkhabaran ini membuat saya lebih tersentuh. Kehadiran mereka juga bukan dengan tangan kosong sebaliknya saya dihadiahi kad ucapan yang sarat kata-kata semangat dan rasa kasih daripada peminat.

“Ketika di Madrid, saya kurang sihat mungkin disebabkan perubahan cuaca, tetapi Omar dan Aishah bersusah payah membelikan ubat untuk saya,” katanya.

Bagaimanapun, Nana agak terkilan kerana tidak dapat memenuhi permintaan Omar dan Aishah yang mahu dia menyanyikan lagu Terpaut Sayang Padamu kerana tidak sihat.

“Saya tidak berniat untuk menolak, tetapi keadaan kesihatan saya tidak mengizinkan. Saya juga sakit tekak dan tidak dapat menyanyikan lagu itu dengan baik,”katanya.

Sementara itu, Omar ketika ditemui berkata, dia mengenali Nana menerusi YouTube apabila secara tidak sengaja menonton video klip lagu Memori Berkasih, dua tahun lalu.

Terpaut dengan gemersik suara penyanyi itu menarik minat Omar untuk mengikuti perkembangannya sehingga sekarang.

“Saya sempat menonton sebahagian besar episod Gegar Vaganza 2 dan prestasi Nana menyanyikan lagu secara ‘live’ membuatkan saya lebih mengharga bakatnya. Rezeki berpihak kepada Nana apabila dia memenangi pertandingan itu,”katanya.

Omar kemudian mencari maklumat mengenai MyCentrio Holidays yang menaja pakej percutian itu dan sangat teruja apabila peminat turut diberi peluang bercuti bersama Nana.

“Disebabkan kerana sudah lama berkeinginan untuk bertemu dengan Nana, saya dan isteri mengambil keputusan menyertai rombongan percutian itu.

“Mengenali Nana secara dekat, saya menyifatkannya sebagai seorang artis yang sangat merendah diri dan ramah dengan peminat,” katanya yang turut menghafal lagu Memori Berkasih.

Kagum dengan Santiago Bernabeu

Selain ditemani peminat yang sudah lama ingin ditemuinya, percutian selama seminggu itu turut disertai anak tunggalnya, Muhammad Rayyan Nakhaie yang kini berusia lapan tahun.

Nana berkata, percutian ke Madrid sangat menyeronokkan kerana ia turut disertai pengacara Gegar Vaganza, Nabil dan isteri termasuk kru produksi program berkenaan.

“Selama seminggu di sana, selain bercuti, saya juga terbabit dalam rakaman penggambaran program khas Gegar Vaganza yang menampilkan Nabil sebagai pengacara. Sepatutnya seorang lagi pe­ngacara Gegar Vaganza iaitu Jihan Muse menyertai kami tetapi dia pula sibuk dengan persiapan majlis perkahwinannya. Kalau ada Jihan mesti lagi riuh!” katanya.

Antara lokasi menarik yang dikunjungi ialah La Cuidad Antigua De Segovia, Royal Palace of Madrid, Centro Cultural Islamico, Old Town of Avila dan Toledo.

Paling menarik, Nana turut berkunjung ke Stadium Santiago Bernabeu milik kelab gergasi bola sepak dunia, Real Madrid.

Nana tidak menafikan pengetahuannya dalam sukan bola sepak agak kurang, tetapi nama Real Madrid memang dikenali terutama barisan pemain bintangnya seperti Cristiano Ronaldo, Karim Benzema, Sergio Ramos dan jurulatihnya, Zinedine Zidane.

“Apabila berkesempatan menjejakkan kaki ke stadium tempat bintang terkemuka bola sepak ini beraksi, perasaan memang luar biasa. Apatah lagi dapat melihat kemegahan stadium yang boleh memuatkan lebih 80,000 penonton itu.

“Menerusi ‘tour’ stadium selama dua jam itu juga, saya berpeluang memasuki beberapa kawasan eksklusif seperti bilik persalinan pemain dan memijakkan kaki di padang bola sepak menjadi kebanggaan ramai itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:51 AM
NANA dan Rayyan teruja memasuki Stadium Santiago Bernabeu.
NANA dan Rayyan teruja memasuki Stadium Santiago Bernabeu.
OMAR dan Aishah sanggup terbang ke Madrid dari Brazil semata- mata untuk bertemu Nan
OMAR dan Aishah sanggup terbang ke Madrid dari Brazil semata- mata untuk bertemu Nan
NANA bergambar di kota lama La Cuidad Antigua De Segovia.
NANA bergambar di kota lama La Cuidad Antigua De Segovia.
BERSAMA Nabil dan kru produksi Astro.
BERSAMA Nabil dan kru produksi Astro.