PERSEMBAHAN duet Nana dan Lan dalam Gegar Vaganza.
PERSEMBAHAN duet Nana dan Lan dalam Gegar Vaganza.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Gandingan mantap penyanyi, Siti Nordiana atau Nana dan Lan Kristal menerusi lagu Memori Berkasih dalam program Gegar Vaganza, baru-baru ini ternyata menarik perhatian ramai dan menjadi ‘viral’ di laman sosial.

Apatah lagi dalam program sama, Lan membongkar cerita lamanya bahawa dia pernah meminati Nana dan ini sekali gus turut menjadi bualan hangat dalam kalangan peminat setia mereka.

Apapun, mana mungkin sejarah kembali berulang kerana Lan kini hidup bahagia bersama isterinya, Sheila. Bahkan, Nana sendiri tidak mahu mereka terus digosipkan peminat.

“Tolong jangan gosipkan kami. Kesian Sheila dan anak-anaknya. Saya rapat dengan Sheila dan hubungan kami memang baik dan jangan timbulkan masalah.

“Berkenaan pengganti pula, buat masa ini saya memang tak terfikir lagi. Bukan saya takut, tapi saya belum berjumpa lelaki yang boleh menjaga saya dan anak, Rayyan.

“Sudah tentu setiap wanita inginkan lelaki yang bertanggungjawab terhadap keluarga dan boleh membimbing saya sebagai isteri,” katanya yang masih berstatus solo selepas bercerai dengan bekas suami, pelakon Allahyarham Faizal Yusup pada 2009.

Menurut Nana, lantaran populariti lagu duet itu, ramai peminat memintanya merakamkan kembali supaya lebih segar.

“Bukan saja syarikat rakaman, malah ada juga artis yang mengajak saya merakamkan kembali lagu duet itu. Tapi, buat masa ini saya tak terfikir lagi untuk merakamkan kembali lagu Memori Berkasih atau mana-mana lagu duet yang pernah saya rakam bersama arwah Achik.

“Diikutkan, saya ada dua album lagu duet dan keseluruhan lagu duet saya berjumlah 20 lagu. Buat masa ini, saya enggan fikirkan soal lain kecuali fokus pada Gegar Vaganza.

“Setiap saat saya berdebar. Bukan bermakna apabila duduk ranking pertama setiap minggu, saya akan jadi juara. Kedudukan kami sentiasa berubah-ubah.

“Saya kena konsisten selalu ketika membuat persembahan. Insya-Allah jika menang RM100,000 banyak yang saya nak buat dengan duit itu. Saya nak beri kepada ibu bapa dan Rayyan.

“Ada juga yang saya nak sedekahkan dan selebihnya akan disimpan untuk kegunaan masa depan. Doakanlah agar saya berjaya,” katanya yang

akan menyanyikan lagu Mengapa pada separuh akhir Gegar Vaganza, malam esok.

Sementara itu, Lan atau nama sebenarnya, Mohd Razlan Mohamed Yusof pula menganggap Nana seperti adiknya dan meminta peminat berhenti menggosipkan mereka.

“Hubungan kami baik kerana isteri saya selalu menjemput Nana atau Syura untuk tampil dalam persembahan bersama saya. Tak dinafikan sekarang ramai yang sarankan kami buat album bersama. Buat masa ini saya dan kumpulan Kristal masih ada kontrak album bersama syarikat rakaman Music Valley.

“Mungkin boleh difikirkan kalau buat album projek khas, tapi itu semua terpulang pada waktu,” katanya.

Sementara itu, peminat yang ingin bertemu Lan boleh hadir di PHL Convention Centre, Jalan Mengelembu, Ipoh, Perak sempena Ekspo Wanita 2015, esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:03 AM