Oleh Rudy Imran Shamsudin


Selepas menjuarai pertandingan Gegar Vaganza, kehidupan Ayai Ilusi dan Siti Nordiana atau Nana berubah sekelip mata.

Ayai atau Zahruddin Kamaruddin adalah pemenang musim pertama awal Januari tahun lalu manakala Nana musim kedua yang berakhir awal Disember lalu.

Jadual harian mereka kini penuh dengan tawaran mengadakan persembahan mahupun menjayakan program TV terutama terbitan Astro.

Terbaru, Ayai dan Nana bakal menjayakan konsert Mega Gegar Vaganza di Istana Budaya pada 15 hingga 17 Januari ini bersama peserta Gegar Vaganza musim pertama dan kedua termasuk Haleeda, Farahdhiya, Nassier Wahab, Ezad, Nizam Laksaman dan Sharifah Zarina.

Sebagai juara musim pertama, Ayai juga tampil dengan single Manusia Sempurna menampilkan Awi Rafael manakala Nana pula merangka kerjaya seninya kembali.

Apa yang menarik mengenai Ayai dan Nana, penghibur berbeza zaman ini berubah dari sudut penampilan mahupun personaliti ke arah keislaman.

Bagaimana mereka meletakkan diri dalam industri dengan perubahan itu? Adakah dalam berdepan situasi industri seni tempatan yang berkembang dengan pantas ditambah dengan kemajuan teknologi terkini, membuatkan mereka berasa sukar untuk mengelola kerjaya dalam situasi hati dan kemahuan sudah berubah yang mahu memegang kukuh pada ‘pegangan’?

Ditemui pada majlis sidang media Konsert Mega Gegar Vaganza baru-baru ini, tentunya sebagai wanita dan kini berhijab, pandangan negatif lebih banyak dikaitkan pada Nana apabila dia kembali aktif.

Bagaimana Nana, 32, yang pernah popular dengan lagu Bola-Bola Api berdepan situasi sekarang dalam keadaan dirinya sudah berubah.

Kata Nana, setakat ini tiada apa pun yang berubah membabitkan pegangan, penampilan mahupun personaliti berbanding dulu dan sekarang iaitu selepas dia bergelar juara Gegar Vaganza.

“Pastinya sekarang ini ke mana saya pergi, sedaya upaya saya dahulukan solat. Aurat sudah tentu saya harus jaga dan baju yang digayakan tidak boleh ketat. Bagaimana bentuk dan potongannya, ia harus longgar dan fesyen tudung menutupi dada.

“Saya juga sedia maklum akan hukum menyanyi boleh mendatangkan fitnah. Begitupun selepas dirujuk ramai ustaz memberi pendapat berbeza mengenainya.

“Cuma dalam menjalani kerjaya seni sebagai penyanyi, saya pegang beberapa perkara. Menyanyi harus menutup aurat, boleh menyanyi dalam keadaan tidak melalaikan. Saya turut memberi penekanan terhadap waktu persembahan dianjurkan.

“Ia tidak boleh bertentangan dengan waktu Zuhur dan Asar atau apa saja waktu yang tidak melanggar azan. Saya selalunya akan menyanyi buat majlis yang berlangsung selepas Isyak. Kebetulan selalunya memang persembahan nyanyian begitu. Selepas Isyak baru ia bermula,” katanya.

Nana akui sejak menyertai Gegar Vaganza lagi, niat hatinya bukan untuk mencari populariti mahupun glamor tetapi lebih kepada membantu keluarga. Dia sedar statusnya sebagai ibu tunggal harus berusaha dan bekerja untuk menyediakan keperluan anak tunggalnya, Ryyan Nakhaie, 8.

“Setiap kali menunaikan solat sunat dhuha, saya selalu berdoa diberikan rezeki kepada saya dan keluarga. Bukan saja setakat wang ringgit, juga lebih kepada kehidupan sejahtera.

“Saya percaya, setiap apa yang kita buat bermula dengan niat dan cuba berdakwah dalam cara yang kecil dan mudah. Contohnya cara pemakaian.

“Saya tahu ada juga orang seperti saya mempunyai bakat lebih besar tetapi takut sama ada apa yang mereka lakukan itu berdosa atau tidak. Itu antara kita dengan Allah.

“Cuma sebagai hamba-Nya, kita harus menjauhi apa yang Allah larang. Sematkan dalam hati kalau kita jaga hubungan kita dengan Allah, pastinya Allah akan jaga kita,” katanya.

Mengenai pemilihan lagu yang bakal dirakamkan selepas ini, Nana akui tidak terlalu berkira berkenaan melodi tetapi liriknya harus bertemakan kerohanian.

Katanya, lagu itu biar mampu dijadikan makanan jiwa. Contohnya lagu Opick, Rapuh yang sangat disukainya.

“Sebagai manusia, kita lemah dan kadangkala alpa. Kita mudah goyah. Lagu Rapuh sangat dekat dengan jiwa. Kalau mahu menghasilkan single terbaru, saya mahu lagu seperti itu dan mahu orang rasa apa yang saya rasa.

“Saya mahukan karya apabila saya dendangkan, ia akan membuatkan saya berasa insaf disebabkan saya tidak sempurna. Diharap lirik lagu yang didendangkan itu nanti memberikan sesuatu walaupun kecil,” katanya.

Ayai mudah terap impak fleksibel

Ayai yang dikenali dengan lagu Puisi Cinta bersama kumpulan Ilusi, impak yang diterima sepanjang mengembangkan kerjaya seninya kembali selepas Gegar Vaganza musim pertama sangat fleksibel.

Perubahan diri dan kerjaya seninya juga tidak pernah menimbulkan konflik dalam diri malah di sebalik kesibukannya menjadi penyanyi, mengajarnya menjadi lebih berdisiplin dalam mencatur hidup bersama isteri dan anak.

Katanya, dia tiada masalah menyesuaikan diri dengan masyarakat sekeliling dan statusnya sebagai artis. Malah dia tidak ada masalah untuk terus berkarya.

“Lagu Manusia Sempurna ciptaan Awi Rafael berupa lagu kerohanian tetapi ia diterima baik penggemar muda dan turut dalam senarai carta lagu popular dikebanyakan stesen radio.

“Rezeki dikurniakan Allah membuatkan saya bertambah kuat untuk meneruskan kerjaya seni ke arah positif. Saya kini menyiapkan lagu terbaru dihasilkan Tun Teja,” katanya.

Ayai juga akui tidak pernah mengehadkan dirinya hanya membawa lagu kerohanian dan menolak lagu bertema cinta yang didakwa boleh membawa kelalaian dan mempengaruhi nafsu.

Katanya, ketika ini dia lebih berminat mendendangkan karya bertemakan kehidupan tetapi tegasnya, cinta juga sebahagian daripada kehidupan dan pengertiannya sangat luas.

“Lagu cinta itu perlu dan ia tidak semestinya ditujukan kepada pasangan kekasih. Seperti saya, lagu cinta boleh ditujukan kepada isteri, cinta kepada ibu bapa dan anak.

“Malah lagu cinta kepada alam sekitar juga boleh dihasilkan dan cinta tidak mengira usia. Pada saya, ia terpulang kepada penerimaan peminat bagaimana mereka mentafsir lirik lagu cinta yang didendangkan. Kalau mereka melihat ia dari sudut negatif maka negatif jadinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:04 AM