SITI Nordiana. FOTO Surianie Mohd Hanif
SITI Nordiana. FOTO Surianie Mohd Hanif
Norhayati Nordin

DINOBATKAN sebagai juara Gegar Vaganza musim kedua (GV2) pada 2015 adalah memori indah buat selebriti wanita popular tanah air, Siti Nordiana Alias atau Nana.

Bermula detik itu, kerjaya seni Nana, 36, yang sebelumnya ‘suram’ berubah drastik menjadi lebih gemilang.

Sama ada menyanyi, berlakon dan mengacara, boleh dikatakan apa saja dilakukan Nana pasti diterima baik peminat dan mendapat sokongan padu.

Enam musim GV berlalu, populariti kali kedua dikecap Nana seperti ketika dia di era ‘remaja’ bagai tidak tergugat dengan kemunculan beberapa juara selepasnya.

Berbicara soal itu, Nana berkata, kejayaan besar yang dimilikinya kini tetap rezeki daripada Allah SWT. Sebagai hamba-Nya, yang mampu diucap hanya rasa bersyukur.

“Saya sangat berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu untuk terus memberi sokongan mereka walaupun tahun lalu lebih banyak cerita peribadi saya jadi perhatian.

“Justeru, apa yang dilakukan dalam kerjaya seni ini adalah minat dan sokongan diperoleh daripada peminat pula sudah tentu tuah buat saya.

“Sukar untuk diungkap dengan kata-kata mengenai rasa kesyukuran itu selain selalu bermuhasabah diri dan meminta Allah SWT sentiasa melindungi saya dalam setiap perkara dilakukan,” katanya.

Apapun, Nana tetap menyifatkan juara GV yang lain seperti Ayai Ilusi, Azharina, Aishah, Noryn Aziz, Hady Mirza dan Naqiu Boboy ada kehebatan masing-masing dengan aura tersendiri untuk memenangi hati peminat mereka.

Ibu tunggal seorang anak lelaki, Muhammad Rayyan Nakhaie, 12, ini berkata, dia gembira segala usaha dilakukan untuk terus memantapkan kerjayanya berhasil.

Dua dekad berkecimpung sebagai penggiat seni, pasang dan surut dalam kerjaya itu adalah perkara tidak boleh dielak. Jadi, teruskan saja perjuangan.

Sehubungan itu, untuk nyanyian Nana kini mampu tersenyum puas kerana popular dengan lagu solo dan duet seperti Terus Mencintai, Hatiku Milikmu, Nisan Cinta dan Satukan Rasa.

Manakala, untuk lakonan pula Nana melonjak dengan drama Dia Semanis Honey, Klik! Pengantin Musim Salju, Cekelat Semanis Honey, Cekelat Tak Semanis Honey, Cekelat Honey dan Satukan Rasa.

Pernah mengacarakan Gema Gegar Vaganza (GGV) untuk dua musim, Nana juga menimba pengalaman beraksi di pentas teater menerusi Dia Semanis Honey Muzikal di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 2017.

Fokus lagu solo & anak

Tahun 2019 menyaksikan Nana tampil dengan pelbagai kejayaan melalui beberapa kemenangan di majlis anugerah berprestij industri hiburan tanah air.

Begitu juga dengan kejayaan lagu Satukan Rasa, duet bersama Khai Bahar yang turut menyatukan gandingan mereka dalam drama dan menarik perhatian peminat.

Untuk tahun 2020 ini, Nana kini dalam perancangan melakukan beberapa projek aktiviti seni sebagai penyanyi dan pelakon.

“Alhamdulillah, Allah masih murahkan rezeki saya. Namun, apa yang mahu difokuskan adalah lagu solo terbaru saya. Manakala, kerjasama duet akan dibincang dahulu.

“Apapun, doa dan harapan saya semoga segala perancangan berjalan lancar. Malah, ia juga tidak akan dibuat secara terburu-buru “ katanya.

Selain itu, Nana turut tekad memberi tumpuan kepada anaknya, Rayyan yang akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Menurut Nana, dia sentiasa mendoakan Rayyan berjaya dan fokus tahun ini memang pada lagu solo dan anak tersayang.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 January 2020 @ 6:00 AM