SEIF sempat menunjukkan tanda kemenangan kepada wartawan.
SEIF sempat menunjukkan tanda kemenangan kepada wartawan.

Nicosia (Cyprus): Lelaki yang dituduh merampas pesawat EgyptAir dengan bom tali pinggang palsu dan mengarahkan pesawat itu mendarat di Cyprus, ditahan reman dengan media sosial dipenuhi ejekan mengenai kejadian disifatkan pelik itu.

Hakim di Larnaca mengarahkan Seif al-Din, 58 dari Mesir, direman lapan hari ketika lelaki itu hadir buat kali pertama di mahkamah selepas kejadian Selasa lalu.

Seif dituduh memaksa penerbangan Iskandariah ke Kaherah dilencongkan ke Cyprus, kerana mendesak mahu menemui bekas isterinya yang juga rakyat negara itu.

Polis memberitahu mahkamah, Seif - digambarkan mengalami keadaan psikologi tidak stabil - kemungkinan menghadapi tuduhan rampasan, penculikan, bertingkah laku melulu dan menimbulkan ancaman serta melanggar undang-undang antikeganasan.

Seif tidak memberi apa-apa kenyataan di mahkamah tetapi sempat menunjukkan tanda kemenangan kepada wartawan ketika dibawa polis dari mahkamah yang terletak kurang satu kilometer dari lapangan terbang Larnaca yang melihat drama selama enam jam akibat tindakannya, kelmarin.

Dia tidak akan dituduh secara rasmi sehingga tarikh seterusnya dan ketika itu juga dia akan membuat pengakuannya sama ada bersalah atau sebaliknya.

Sebahagian besar 55 penumpang EgyptAir terus dibebaskan selepas pesawat itu mendarat di Larnaca tetapi rundingan mengambil masa beberapa jam, termasuk perbualan dengan bekas isterinya sebelum Seif menyerah diri kepada polis.

Beberapa mangsa melarikan diri hanya beberapa minit sebelum drama rampasan itu berakhir, termasuk seorang lelaki beruniform yang dilihat memanjat keluar dari tingkap kokpit dan melompat ke tanah.

Antara yang kekal di dalam pesawat sehingga kejadian itu berakhir lelaki Britain, Ben Innes, 26, yang sempat meminta anak kapal merakam gambarnya berdiri di sebelah Seif yang dikongsikan di media sosial.

Imej itu memaparkan Innes tersenyum berdiri di sebelah perampas itu, yang kelihatan memakai seperti jaket bunuh diri dengan bom diikat di dadanya.

“Saya rasa, jika memang dia ada bom, saya memang tidak akan selamat pun jadi saya mengambil peluang untuk melihat dengan lebih dekat.

“Jadi saya berdiri di sebelahnya dan tersenyum ketika pramugari merakam gambar. Ia selfie terbaik saya,” katanya.

Sebaik diketahui lelaki itu merampas pesawat untuk bertemu bekas isterinya dan bukan pengganas berbahaya, penduduk Mesir terus menjadikannya bahan lawak di Twitter dengan menggunakan hashtag #loveisintheair. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Mac 2016 @ 11:12 AM