PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Sidang Dewan Rakyat Bangunan Parlimen. FOTO Yazit Razali
PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Sidang Dewan Rakyat Bangunan Parlimen. FOTO Yazit Razali
Hairulazim Mahmud


Kuala Lumpur: Kelantan menerima peruntukan sebanyak RM400 juta daripada Kerajaan Persekutuan iaitu antara yang terbesar tahun lalu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, negeri itu tetap menerima peruntukan yang tinggi daripada Kerajaan Persekutuan selain wang ihsan dan dana di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) walaupun Kelantan tidak diperintah Barisan Nasional (BN)

"Semua peruntukan RM400 juta itu masuk ke dalam akaun kerajaan negeri, manakala agensi lain termasuk agensi persekutuan di negeri itu menerima peruntukan lain.

"Bayaran untuk Kelantan boleh dikatakan antara tertinggi walaupun tidak berada di bawah kerajaan BN," katanya menjawab soalan tambahan Nasrudin Hassan (PAS-Temerloh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Nasrudin mahu tahu sama ada kesemua peruntukan RM400 juta itu dimasukkan ke dalam `kantung' kerajaan negeri atau diagihkan kepada agensi lain.

Terdahulu menjawab soalan tambahan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz (PAS-Pasir MAS) mengenai kesediaan Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan bagi menjayakan program dapur hijau dilaksanakan negeri itu bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, terpulang kepada Kelantan untuk mengagihkan peruntukan dan bantuan yang disalurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 11:26 AM