Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan
Yang Dipertua YADIM Nasrudin Hassan
Rafidah Mat Ruzki


Putrajaya: Pemilik akaun Facebook (FB) yang sepatutnya memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia berikutan penulisannya yang dianggap mengelirukan umat Islam negara ini.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Nasrudin Hassan yang Sabtu lalu diberi tempoh tujuh hari untuk mengemukakan permohonan maaf kepada wanita itu berkata, penulisannya menimbulkan kecelaruan terhadap umat Islam.

Pada masa sama, Nasrudin berkata, beliau belum menerima sebarang saman membabitkan perkara itu.

"Pada saya, sepatutnya beliau yang kena mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, apabila banyak tulisan yang kita rujuk dalam 'page' dan FB dia sendiri, sangat mengeliru dan memberi satu kecelaruan terhadap umat Islam itu sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas gimik penyerahan barangan dan Pelepasan Musaadah 2.0 dan Misi Bantuan Pasca Bencana Banjir yang dilepaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, pagi hari ini.

Nasrudin berkata, penulisannya sebelum ini untuk menyatakan kemungkinan bertambah atau cabaran yang perlu dihadapi alim ulama serta pendakwah apabila berdepan dengan pelbagai pemikiran masyarakat Islam di negara ini.

Beliau berkata, ia juga bagi menasihati rakyat terutama umat Islam di negara ini supaya tidak terpengaruh atau terpedaya dengan penyebaran ajaran yang bercanggah dengan syariat termasuk apa yang dikatakan sebagai Islam Melayu kerana Islam itu adalah universal serta tiada istilah Islam Arab atau sebagainya.

Nasrudin juga berpendapat YADIM tidak perlu membuat laporan polis berikutan beliau dimaklumkan lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sudah membuat laporan mengenai perkara itu selain wanita itu sendiri.

"Cukup saya beri peringatan terhadap masyarakat agar umat Islam tidak terpengaruh dengan ajaran itu.

"Beliau sendiri pun buat laporan polis terhadap saya, jadi saya kira perkara ini sudah sampai ke pihak berkuasa. Tinggal lagi mereka akan menjalankan tindakan mereka," katanya.

Ditanya jika pihaknya akan memanggil wanita itu untuk memberikan penjelasan, Nasrudin berkata, pihaknya baru mengesan mengenai ajaran berkenaan melalui klip video yang tersebar mengenainya, manakala pihak berkuasa agama sudah mengambil tindakan untuk memanggil dan menyiasat bagi mengetahui perkara sebenar.

Beliau berkata, penguatkuasaan dalam isu sedemikian adalah tanggungjawab agensi terbabit seperti jabatan agama Islam negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), manakala YADIM sendiri bertindak menjalankan kerja dakwah untuk mengajak masyarakat memahami apa Islam sebenarnya serta menerangkan apa kesalahan dalam ajaran yang dikatakan dibawa wanita itu.

Sementara itu, Dr Zulkifli yang diajukan persoalan sama berkata, ketika ini pihaknya akan mendapatkan pandangan daripada pihak berkuasa agama dari negeri yang terbabit dengan ajaran dibawa wanita terbabit.

Pada masa sama, beliau berkata, JAKIM akan menggunakan satu saluran untuk perkara itu dibincang dan keputusan dirumuskan antara jabatan itu dengan pihak berkuasa agama di negeri bagi memastikan tindakan yang akan diambil benar-benar tepat, tidak dianggap sebagai gopoh atau tidak mempunyai maklumat.

Berhubung sebarang ajaran yang dianggap menyimpang daripada syariat, pihaknya serta pihak berkuasa agama di setiap negeri sentiasa bermuzakarah sejak sekian lama bagi memfatwakan berkenaan ajaran-ajaran sedemikian.

"Kita akan fatwakan dari semasa ke semasa dan unit dakwah kita ada. Cuma kita tidak mahu menyatakan sesuatu (keputusan) itu dengan sepantas itu melainkan perkara yang disepakati," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Februari 2021 @ 11:00 AM