PEMAIN Malaysia  Baddrol Bakhtiar (kanan) dihalang dua pemain Macau, Cheang Cheng Leong Paulo (tengah) dan Chan Man (dua dari kanan).
PEMAIN Malaysia Baddrol Bakhtiar (kanan) dihalang dua pemain Macau, Cheang Cheng Leong Paulo (tengah) dan Chan Man (dua dari kanan).
Aziman Rosdi


Melaka: Kegagalan mencatat kemenangan ke atas pasukan kerdil Macau dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Hang Jebat, Melaka malam tadi pasti memberi tamparan hebat buat Harimau Malaysia.

Kebangkitan diharapkan masih belum kelihatan apabila perlawanan yang sepatutnya menjadi medan anak buah Datuk Ong Kim Swee mengasah taji hanya berakhir dengan kekecewaan seri 0-0.

Kim Swee membuat kejutan dengan melakukan rombakan besar apabila menyisihkan enam pemain yang beraksi ketika tewas 0-2 di tangan Arab Saudi pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah Jumaat lalu.

Tanpa kapten dan tonggak tengah Safiq Rahim, lilitan di lengan diserahkan kepada penyerang berpengalaman Mohd Amri Yahyah manakala pemain muda Nazmi Faiz Mansor yang tampil buat kali pertama dengan skuad senior sejak 2013 memainkan peranan bersama pasangannya ketika menjuarai Sukan SEA Jakarta 2011 Baddrol Bakhtiar di bahagian tengah.

Penjaga gol Johor Darul Ta’zim (Johor DT) Izham Tarmizi Roslan yang mengambil alih tugas Khairul Fahmi Che Mat kurang diuji pasukan pelawat pada babak pertama manakala Nazirul Naim Che Hashim yang dipanggil pada saat akhir terpaksa digantikan dengan Yong Kuong Yong pada minit ke-26 akibat kecederaan.

Biarpun mendominasi sepenuhnya permainan namun anak buah Kim Swee tetap sukar menembusi gawang pasukan dibarisi kebanyakan pemain amatur yang menduduki ranking ke-195 dunia berbanding Malaysia (166).

Malaysia pada dua pertemuan terakhir kelayakan Piala Dunia 1993 mudah membelasah Macau 9-0 di Stadium Merdeka dan 5-0 di gelanggang lawan.

Hanya dua percubaan bahaya dicipta Harimau Malaysia menerusi percubaan penyerang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-25 yang diselamatkan penjaga gol Macau Ho Man Fai manakala rembatan pemain sayap kanan Nazrin Nawi (m-37) terkena tiang gol.

Dua pertukaran dilakukan Kim Swee pada babak kedua dengan mengeluarkan Nazmi Faiz dan Matthew Davies untuk memberi ruang kepada Hafiz Kamal dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

Bagaimanapun Harimau Malaysia terus buntu menghasilkan gol apabila beberapa percubaan tersasar dengan tandukan terbang Amri pada minit ke-83 diselamatkan Man Fai manakala sepakan percuma Hafiz lewat permainan terkena tiang.

Aksi kurang meyakinkan ini memberi petanda jelas buat Kim Swee bahawa tugasnya membawa Malaysia melepasi halangan play-off Piala Asia 2019 pada Jun serta kejohanan Piala AFF hujung tahun ini pasti sukar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 10:34 AM