PENJAGA gol Malaysia Farhan  Abu Bakar (kiri) sering diuji jentera serangan Myanmar.
PENJAGA gol Malaysia Farhan Abu Bakar (kiri) sering diuji jentera serangan Myanmar.
Aziman Rosdi


Kuala Lumpur: Kebangkitan yang diharapkan masih belum kelihatan selepas skuad Harimau Malaysia gagal mencari kemenangan pertama tahun ini apabila sekadar seri 0-0 dengan Myanmar dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Thuwunna YTC, Yangon, semalam.

Pengendali kebangsaan Datuk Ong Kim Swee perlu segera memerah otak memikirkan strategi terbaik untuk anak buahnya sebelum aksi lebih penting iaitu Play-Off Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Larkin pada 2 dan 6 Jun ini.

Walaupun sekadar aksi persahabatan, kemenangan ke atas Myanmar kali ini sangat diperlukan untuk mengubat kekecewaan selepas tumpas 0-2 di tangan Arab Saudi dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 dan seri 0-0 dengan Macau.

Dalam aksi semalam, ia pertemuan pertama Malaysia dengan Myanmar selepas terikat 0-0 dalam saingan peringkat kumpulan Piala AFF di Stadium Jalan Besar, Singapura dua tahun lalu.

Kali terakhir Harimau Malaysia yang menduduki ranking ke-174 itu menundukkan Myanmar yang berada di tangga ke-167 dunia itu ialah ketika di Kota Bharu lima tahun lalu di mana Malaysia menang 2-0.

Ketiadaan pemain perancang Safiq Rahim kali ini cukup dirasai skuad kendalian Kim Swee apabila gandingan tengah Baddrol Bakhtiar, Junior Eldstal dan Amirulhadi Zainal kurang menjadi apabila kerap kehilangan bola.

Kepantasan yang dimiliki pasukan tuan rumah kerap mencemaskan pertahanan negara yang dikemudi kapten Aidil Zafuan Abd Radzak khususnya pada babak pertama.

Myanmar yang bakal menjadi tuan rumah bersama Piala AFF hujung tahun ini hampir di depan pada minit ke-30 selepas Aung Thu berjaya menyelinap masuk ke kubu negara di sebelah kanan namun hantaran lintangnya gagal disempurnakan dengan baik oleh penyerang Kyaw Ko Ko.

Satu-satunya percubaan terbaik yang dimiliki anak buah Kim Swee ialah pada minit ke-33 apabila Eldstal bijak melambungkan bola ke dalam kotak penalti. Bagaimanapun Amirulhadi yang membuat penampilan pertama selepas lima tahun gagal menewaskan penjaga gol Pyae Phyo Aung.

Kelibat penyerang Johor Darul Ta’zim Mohd Amri Yahyah pula nampak tenggelam biarpun cuba dibantu Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham.

Beberapa pertukaran dilakukan oleh pengendali negara itu pada separuh masa kedua termasuk memasukkan pemain pertahanan Khair Jefri Jones yang tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa serta penyerang Zaquan Adha Abd Razak untuk penampilan pertama selepas empat tahun.

Bagaimanapun skrip tidak banyak berbeza apabila gerakan yang dilancarkan pemain negara mudah dipatahkan pertahanan Myanmar untuk kedua-dua pasukan menamatkan permainan tanpa sebarang jaringan.

Skuad kebangsaan akan pulang ke tanah air hari ini dan terus ke Johor Baharu bagi persediaan menghadapi Timor Leste.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Mei 2016 @ 5:05 AM