PENINGKATAN usia jadikan kita lebih matang dengan isu berbeza menjadi keutamaan.
PENINGKATAN usia jadikan kita lebih matang dengan isu berbeza menjadi keutamaan.

SHUHADA MANSOR tahu majoriti pengguna media sosial memiliki akaun sendiri seawal usia 12 tahun. Adakah terlalu awal atau tiada had umur disarankan? Gen Y kupas isu ini.

Pada peringkat umur seperti kita, banyak perkara baru yang terpaksa kita hadapi daripada zaman kanak-kanak. Bukan hanya perubahan perasaan, hormon, tubuh badan malah cara berfikir juga menjadi berbeza.

Ada antara kita takut meneruskan langkah kerana tidak berani menyahut cabaran dan ada juga yang kekal untuk sentiasa berada dalam zon selesa. Pun begitu, ada juga yang hanya ‘pejam mata’ dan terus melangkah.

MAKIN BERUSIA MAKIN MENCABAR

Sebagai remaja, penulis percaya kita suka membuat keputusan lebih awal mengenai hal melanjutkan pelajaran, kerjaya, kerja, harta dan sebagainya. Ada juga yang berasakan sekolah menengah adalah platform terakhir yang membentuk masa depan mereka. Situasi ini sekali gus menjadikan anda mudah tertekan dan menambah konflik sedia ada.

Kajian dijalankan kumpulan Misi Austaria bertajuk Kajian Nasional Anak Muda Australia 2012 menyenaraikan empat isu menjadi kebimbangan kita antaranya menghadapi tekanan, perihal pendidikan, imej tubuh badan dan konflik keluarga serta rakan.

KURANG KEYAKINAN DIRI

Tanyalah rakan anda pernahkah membandingkan diri mereka dengan orang lain? Percayalah jawapannya pastinya ya. Daripada faktor tubuh badan, penampilan dan cara pemakaian, ini antara isu yang menjadi kebimbangan remaja. Secara tanpa sedar, kita mencipta tekanan baru dalam diri jika ia tidak menjadi seperti apa yang kita mahu.

Penyelesaiannya, jangan terlalu obses untuk menjadi orang lain atau idola anda. Jika mempunyai rakan seperti ini, yakinlah setiap orang diciptakan berbeza. Kita semua unik dengan aura tersendiri. Selain daripada memikirkan kekurangan diri, tekankan ada sisi lain yang menarik untuk ditonjolkan.

MUDAH MURUNG

Jangan tipu jika ada bertanya adakah anda cepat murung? Akui perkara ini kerana sumber menjelaskan, remaja mudah menjadi murung dengan perkara harian dan ia sukar diramal.

Apabila sesetengah perkara tidak menjadi seperti dikehendaki, tidak mencapai tahap sepatutnya, kita akan tertekan dan sekali gus murung.

Gred menurun, putus cinta, harapan menggunung ibu bapa antara penyebab utama kemurungan remaja.

Jika mendapati rakan atau diri sendiri murung, cuba ceriakan suasana dengan perkara anda suka. Tidur berlebihan antara ciri ini, jika individu terbabit mula bercakap perihal kematian, segeralah rujuk ke pakar.

RISAU BAB PENDIDIKAN

Waktu sekarang adalah tahap penting seluruh ahli keluarga memberi tumpuan terhadap pendidikan kita. Diasak dengan soalan pencapaian terkini, perlu mendapat markah tinggi, bagus dalam peperiksaan antara membelenggu kita.

Tekanan ini ada kalanya mengakibatkan kes bunuh diri dan lari rumah. Penyelesaiannya, sentiasa ingat kita perlu lakukan terbaik untuk kehidupan lebih stabil pada masa akan datang. Kongsi pengalaman dengan orang yang anda selesa mengenai cara mereka tangani isu ini dulu. Ada pelbagai cara jika anda gagal pada permulaan dan cuba sehabis baik untuk memperbaikinya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 12:37 PM