Shuhada Mansor

SHUHADA MANSOR tahu isu jenayah membabitkan golongan kita bukanlah hal baru. Sedar baik buruk sebelum lakukan sesuatu supaya ia tidak merosakkan masa depan sendiri kelak.

Bukan isu baru untuk dibincangkan jika kita bercakap perihal jenayah membabitkan remaja. Sama ada di sekolah, jalanan, institusi bahkan yang sudah bekerja juga masih ada berlaku sehingga hari ini. Kenapa ia masih berlarutan?

Keinginan untuk rasa diri digeruni, ditakuti rakan sebaya antara sebab ada segelintir daripada kita suka lakukan jenayah. Tidak kiralah sama ada mencuri berskala kecil hinggalah kepada kes bunuh, perilaku ini tetap membawa kerugian kepada masa depan serta rekod hidup kita akhirnya.

Jual diri serendah RM50

Kes jenayah bukan hanya membabitkan anda buat salah laku terhadap orang lain tetapi ia juga berkaitan dengan memanipulasi diri sendiri.

Sanggup mencuri, merogol, menjual diri, membunuh serta terbabit dalam pergaduhan antara yang biasa kita dengar. Malah, ada yang bertindak luar batasan kerana sanggup menjual diri pada harga serendah RM50 setiap pelanggan untuk mendapatkan wang.

Terdesak kerana mahukan wang dengan cepat menjadikan ada sesetengah gadis menjual diri meskipun antaranya masih di bangku sekolah. Jangan terkejut jika ada penuntut institusi pengajian tinggi melakukan jenayah ini dengan panggilan ‘call girl’.

Angka kes makin meningkat

Fenomena ini diakui sendiri bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hasaan yang memetik statistik menunjukkan peningkatan kes jenayah kini membabitkan golongan muda.

Buktinya, sepanjang 2007, lebih 1,800 kes jenayah dilaporkan dengan lebih 3,300 membabitkan pelajar ditahan. Angka itu meningkat dengan penambahan 382 kes tahun berikutnya dengan menyaksikan lebih 3,700 pelajar ditahan.

Makin berani cuba dadah berbahaya

Jika dulu isu ganja dikaitkan namun kini anak muda lebih ke hadapan bukan hanya dari segi teknologi. Kenyataan ini dibuktikan dengan penangkapan seorang remaja di rumahnya sekitar Ampang Jaya, minggu lalu akibat salah laku menghisap syabu.

Dengan memberi alasan terhidu asap syabu rakannya, dia yang disoal siasat polis dikesan positif syabu ketika melakukan ujian saringan air kencing.

Ketua Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Ampang Hasnina Ibrahim menasihatkan ibu bapa, orang ramai atau rakan sebaya yang sentiasa memantau dan mengambil tahu kegiatan orang sekeliling dan anak masing-masing.

Pensyarah Fakuti Pendidikan Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Tie Fatt Hee menjelaskan, apa yang lebih menyedihkan, majoriti pelajar mengakui mejadikan kawan dan rakan sebaya sebagai rujukan utama dan sokongan mereka terbabit dalam masalah ini.

Dengan alasan mahukan populariti dengan cara meragut atau melakukan jenayah lain, apa yang anda dapat pada akhirnya? Lebih teruk lagi jika kegiatan itu dikesan dan anda ditangkap pihak berkuasa. Jika remaja dikatakan lebih suka mencuba benda baru, penulis berpendapat, untuk mencari publisiti bukanlah dengan cara ini. Ribuan cara lain boleh anda tonjolkan dengan kreativiti kita sebagai generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:42 AM