KITA perlu disiplinkan diri bermula hari ini dan bukan hanya fokus ‘kerosakan’ orang lain.
KITA perlu disiplinkan diri bermula hari ini dan bukan hanya fokus ‘kerosakan’ orang lain.

SHUHADA MANSOR mahu Gen Y sedar mengenai beberapa perkara yang kita lakukan sekiranya berlarutan akan memberi impak negatif dalam perancangan akan datang.

Bagi penulis, isu kerosakan dalam sesebuah sistem boleh dikaitkan secara am dengan pelbagai perkara. Sama ada pentadbiran atau sikap individu itu sendiri.

Dalam artikel kali ini, Gen Y ingin pembaca kaitkan konsep kerosakan dengan perlakuan kita dalam kehidupan seharian.

Adakah kita turut menjadi mangsa tanpa sedar? Terlalu banyak impian yang ingin direalisasikan, namun ada ketikanya kita gagal tanpa mengetahui sebabnya. Sedar akan kekurangan dan cuba untuk ubah cara demi masa depan seperti diimpikan.

KEROSAKAN TABUNGAN

Duit simpanan menjadi isu terbesar yang membelenggu remaja. Gen Y bertanya beberapa individu yang mengakui, meskipun usia sudah lewat 20-an, wang simpanan masih belum ada untuk kegunaan masa depan.

Kenyataan ini disokong kaji selidik dijalankan sebuah bank terkemuka yang mendapati hanya dua bagi setiap lima individu (39 peratus) rakyat negara ini mengamalkan tabiat menabung.

Untuk bezakan kehendak dan keperluan agak sukar apatah lagi jika hidup di kota. Cara hidup dikelilingi rakan sebaya membuatkan kita tidak mahu ketinggalan. Ia menyebabkan duit tabung disimpan untuk kegunaan lain digunakan untuk membeli gajet terbaru.

Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpendapat, masyarakat di Malaysia sememangnya gemar berbelanja.

“Pernyataan sebegini bersandarkan kepada nilai Marginal Propensity to Consume (MPC) atau kecenderungan bagi seseorang pengguna itu untuk berbelanja bagi setiap kenaikan pendapatan. Jika dibandingkan dengan negara di Asia, sememangnya kita (Malaysia) berada dalam kedudukan yang tinggi.

“Tidak dinafikan terdapat golongan yang bijak mengawal kewangan dan perbelanjaan peribadi mereka, begitu juga sebalik­nya. Perumpamaan universal ‘sediakan payung sebelum hujan’ boleh diguna pakai sesiapa saja tanpa mengira peringkat umur,” katanya.

KEROSAKAN WAKTU

Antara kerosakan utama yang kita tidak sedar adalah waktu. Kerosakan dalam sistem perancangan waktu untuk diri sendiri adalah faktor utama membuatkan seseorang gagal mendisiplin diri.

Datang lewat ke kuliah, sekolah, mesyuarat, temu janji atau tempat kerja antara isu yang perlu kita ambil serius. Perancangan masa membabitkan aktiviti seharian. Alasan ‘tidak sengaja’, ‘kesesakan trafik’ antara paling popular digunakan. Sedar atau tidak, dengan memberi alasan ini kita secara sengaja mencipta masalah sendiri. Bagaimana untuk tepati waktu? Untuk menjadi individu berdisiplin tidak memerlukan panduan orang lain, kita perlu memperbaiki kembali kerosakan sikap sedia ada.

KEROSAKAN HUBUNGAN

Hubungan sosial sesama individu semakin berkurangan dengan wujudnya jaringan sosial atas talian. Isu sosial berlaku ketika waktu bersama keluarga atau rakan dihabiskan dengan membelek telefon dan melayari Internet berbanding berbual semeja.

Isu terlalu bergantung kepada Internet ini disokong dengan kajian statistik berkaitan. Menurut data terbaru keluaran agensi global, We Are Social, pengguna Internet aktif di seluruh dunia kini mencapai angka 31.7 juta. Dari tahun ke tahun, jumlah pengguna Internet bertumbuh antara enam hingga tujuh peratus.

Laporan Ekonomi 2013/2014 dikeluarkan Kementerian Kewangan mendapati bilangan pengguna Internet di Malaysia dijangka meningkat kepada 25 juta orang menjelang 2015 berbanding 18 juta orang pada 2012. Laporan itu menyebut rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa melayari Internet berbanding media lain seperti televi­syen, radio dan surat khabar dengan penggunaan Internet yang meluas untuk rang­kaian sosial.

SEDAR SENDIRI

Ketiga-tiga isu dikongsi Gen Y antara kerosakan paling jelas boleh dilihat dalam kalangan kita. Mungkin sekiranya anda hanya terbabit dengan isu sosial, namun terhindar daripada masalah wang dan waktu, masih boleh diperbaiki. Bagaimana pula jika kita mengalami ketiga-tiga ini?

Pertanyaan mungkin tidak boleh dibalas dengan jawapan segera. Jika kita sedar kekurangan diri, perbaiki sekarang untuk keselesaan waktu mendatang. Belajar berdisiplin dan menjadi individu terbaik adalah untuk kebaikan diri sendiri. Kejayaan kelak adalah usaha anda yang ‘berperang’ dengan rasa selesa sejak sekian lama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 November 2015 @ 11:32 AM