AL AMIN (kanan)  bertukar perjanjian persefahaman dengan Shazali (kiri) sambil disaksikan  Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor  di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.
AL AMIN (kanan) bertukar perjanjian persefahaman dengan Shazali (kiri) sambil disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

Kuala Lumpur: Syarikat telekomunikasi Celcom Axiata Berhad memeterai perjanjian bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menjadi penaja utama dalam tempoh tiga tahun bermula 4 April ini hingga 2018.

Penajaan itu diumumkan sebanyak RM8 juta setahun menjadikan keseluruhan dalam tempoh tiga tahun ialah RM24 juta dan ditambah dengan peruntukan tambahan sebanyak RM10 juta selama tiga tahun bagi tujuan promosi membabitkan iklan serta beberapa acara sampingan.

Menurut Pemangku Presiden BAM, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid, kerjasama pertama antara Celcom dan badan induk itu ialah penganjuran Terbuka Malaysia dari 5 hingga 10 April ini dengan kejohanan itu dikenali sebagai Terbuka Malaysia Celcom Axiata.

“Dalam pada itu saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja terdahulu iaitu Maybank selepas kami menjalinkan kerjasama sejak 2011,” katanya semalam.

Jelasnya, peruntukan sebanyak RM24 juta selama tiga tahun itu akan dibahagikan untuk kegunaan pembangunan, menghantar pemain ke kejohanan luar negara, persiapan kejohanan besar seperti Sukan Olimpik, Piala Thomas dan Uber, Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Peruntukan ini juga akan digunakan untuk memberi insentif kepada pemain yang berjaya melakar kejayaan di kejohanan yang disertai,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Celcom Axiata Berhad Datuk Seri Shazali Ramly berkata, mereka berbangga dapat bekerjasama dan berharap mampu menjalin hubungan baik bukan dalam tempoh tiga tahun saja tetapi mungkin untuk beberapa tahun lagi selepas itu.

“Kami juga sudah mempunyai pengalaman membabitkan diri dalam sukan seperti bola sepak pada 2005, penganjuran Piala Axiata dan beberapa lagi acara lain. Tahun ini kami mengambil satu lagi langkah untuk membawa sukan ini dengan lebih menarik buat rakyat Malaysia.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Mac 2016 @ 9:46 AM