Sri Ayu Kartika Amri dan Sofyan Rizal Ishak


AXIATA Group Bhd (Axiata) dan DiGi.Com Bhd (DiGi) telah mengantung transaksi perdagangan mereka di Bursa Malaysia pada hari ini.

Berdasarkan kepada pengumuman dilakukan oleh kedua-dua syarikat telekomunikasi (telco) itu pada pagi tadi, masing-masing telah menggantung perdagangan sahamnya dari jam 9 pagi hingga 5 petang hari ini.

Kedua-dua telco itu memohon penggantungan dalam perdagangan dari Bursa Malaysia dan telah diberikan penggantungan perdagangan sementara menunggu pengumuman penting pada petang nanti.

Pergantungan itu dilakukan selari dengan laporan pada awal pagi ini yang menyatakan Axiata yang memiliki Celcom Axiata Berhad (Celcom) dan Telenor Group yang memiliki pegangan 49 peratus dalam DiGI dalam perbincangan untuk menyatukan operasi mereka di Asia.

Sementara itu, firma penyelidikan AmInvestment Research menjangkakan Telenor Group dari Norway itu akan memiliki pegangan saham dalam penggabungan operasi di Asia bersama Axiata.

Ia menjangkakan Telenor akan memiliki kepentingan majoriti dalam entiti yang diganungkan itu kelak kerana ia memiliki Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Amortisasi (EBITDA) dan asas pendapatan yang lebih besar.

“Secara keseluruhan, kami akan positif jika perjanjian ini menjadi kenyataan kerana ini dapat mengurangkan bilangan pesaing dengan berkesan dan membolehkan entiti yang bergabung untuk melonjak ke kedudukan teratas daripada aspek penguasaan pasaran di negara yang terbabit dalam penggabungan itu,” katanya.

Kedua-dua telco itu mempunyai operasi di Malaysia, Thailand, Myanmar, Bangladesh dan Pakistan dengan Axiata juga turut beroperasi di India, Sri Lanka, Nepal, Kemboja dan Indonesia yang mana syarikat dari Norway itu tidak memiliki kehadiran di negara terbabit.

AmInvesment turut menjangkakan operasi Axiata yang akan terbabit dalam penggabungan ini boleh mencapai hasil RM23.8 bilion, EBITDA (RM8.5 bilion) dan keuntungan normal (RM1.2 bilion) berdasarkan keputusan tahun kewangan 2018 (FY18).

Begitu juga di Asia, pendapatan tahunan FY18 bagi Telenor Group adalah RM28 bilion, EBITDA (RM13 bilion) dan keuntungan bersih (RM5 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mei 2019 @ 1:31 PM