HALIM Shafie.
HALIM Shafie.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Celcom Axiata Bhd (Celcom) mengumumkan pelantikan Tan Sri Dr Halim Shafie sebagai Pengerusi Interim berkuat kuasa 2 Jun 2022.

Dalam kenyataan pada Jumaat, penyedia telekomunikasi itu menjelaskan pelantikan dibuat susulan peletakan jawatan oleh Datuk Izzaddin Idris sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Axiata serta sebagai Pengerusi Celcom, kedua-duanya berkuat kuasa 31 Mei 2022.

Halim dilantik sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif bagi Axiata Group Bhd (Axiata) pada 1 November, 2020 dan pernah berkhidmat di pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Pendidikan, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

"Halim adalah Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi pada 2000 dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari 2006 hingga 2009 sebelum memegang jawatan sebagai Pengerusi Telekom Malaysia Bhd dari 2009 hingga 2015.

"Jawatan terakhir beliau sebelum menyertai Axiata ialah Pengerusi MCMC yang dilantik buat kali kedua dari 2015 hingga 2018," menurut Celcom Axiata.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Pengerusi Smart Axiata Co Ltd.

CEO Celcom Axiata, Datuk Idham Nawawi berkata bersama-sama dengan pengurusan Celcom, pihaknya mengalu-alukan Halim sebagai pengerusi baharu.

"Kami amat teruja untuk bekerjasama dengan beliau dan lembaga pengarah. Kami mengharapkan bimbingan serta kepimpinan beliau dalam memacu organisasi ke arah langkah baharu dan mencipta nilai sebenar untuk pelanggan kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Jun 2022 @ 4:01 PM