PEMAIN Itali jalani latihan sebelum pertemuan dengan Sepanyol.
PEMAIN Itali jalani latihan sebelum pertemuan dengan Sepanyol.
AFP

Milan: Alessandro Florenzi menegaskan Azzurri akan hanya memikirkan mengenai bola sepak dan bukannya ancaman serangan pengganas ketika mereka meneruskan persiapan Euro 2016 dengan aksi persahabatan menentang Sepanyol dan Jerman.

Itali menerima kunjungan juara Eropah Sepanyol di Udine awal pagi esok sebelum bertandang ke Munich untuk berdepan juara dunia Jerman pertengahan minggu depan.

Serangan pengganas di Belgium kelmarin mencetus kebimbangan Euro 2016 di Perancis mungkin menjadi sasaran utama mereka selain cadangan beberapa perlawanan mungkin dimainkan tanpa penonton.

“Euro adalah pertandingan yang sepatutnya mencetus keriangan dan senyuman, bukannya ketakutan kepada peminat yang hadir menontonnya,” kata Florenzi di padang latihan Itali Coverciano, kelmarin.

“Apa yang kami boleh lakukan adalah bertenang dan hanya fokus terhadap tugas ini.”

Sementara itu jurulatih Itali Antonio Conte masih berbelah bagi mengenai pemain yang akan diturunkan menentang pelawat kendalian Vincente Del Bosque di Stadio Friuli, awal pagi esok.

Conte dikritik kerana menyenaraikan skuad besar 28 pemain dengan bekas pengendali Juventus itu memanggil pemain tengah kelahiran Brazil Jorginho dari Napoli dan penyerang Fiorentina Federico Bernardeschi buat kali pertama selain memanggil semula pemain tengah Paris Saint Germain Thiago Motta ke dalam skuad buat kali pertama sejak sebelum Piala Dunia 2014.

Namun pengendali berusia 46 tahun itu mempertahankan keputusannya.

“Dua perlawanan ini dan sesi latihan membantu saya menguji sesetengah pemain dan melihat sama ada sesetengah seperti Thiago Motta boleh memainkan peranan,” ujar Conte.

Conte terpaksa melupakan khidmat pemain utama termasuk pemain tengah PSG Marco Verratti (groin) dan penyerang Torino Ciro Immobile (tendon paha).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:37 AM