Milan: Jurulatih Itali, Antonio Conte memanggil pemain tengah AC Milan, Giacomo Bonaventura bagi aksi kelayakan Euro 2016 menentang Croatia, awal pagi Sabtu ini.

Bonaventura sebelum ini diketepikan bagi perlawanan di Split itu tetapi menyertai skuad dua hari kemudian selepas penyerang Simone Zaza dan pertahanan Andrea Barzagli dihantar pulang kerana kurang cergas.

Selain itu penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon dan pemain tengah Paris Saint Germain, Marco Verratti juga dikhuatiri tidak dapat beraksi, masing-masing mengalami kecederaan siku dan betis kiri.

“Kedua-duanya kini dipantau namun masih kekal dalam skuad,” kata doktor pasukan Itali, Enrico Castellacci.

“Kami akan menilai keadaan kedua-dua pemain itu dalam beberapa hari lagi kerana kami mempunyai dua perlawanan jadi kami akan lihat siapa yang boleh bermain. Pemain lain semuanya cergas.”

Zaza mengadu sakit belakang sebelum menyertai kem latihan Itali di Coverciano, manakala Barzagli, yang hanya kembali berlatih minggu lalu selepas mengalami kecederaan belum pulih sepenuhnya selepas beraksi 90 minit pada final Liga Juara-Juara menentang Barcelona, Sabtu lalu.

Tempat Barzagli sudah digantikan pertahanan Sassuolo, Francesco Acerbi manakala Bonaventura yang serba boleh di bahagian depan memberikan pilihan buat Conte untuk menentang pasukan yang mengikat Itali 1-1 dalam perlawanan di San Siro, November lalu.

“Kami bekerja keras supaya dapat menghasilkan permainan mantap,” kata Conte.

“Mereka (Croatia) pasukan yang kuat dan membuktikannya di San Siro tapi kami memberi tumpuan penuh dalam memastikan tempat ke kejuaraan itu.” -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2015 @ 7:56 AM