GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN

Aplikasi janji temu Sugarbook disertai ramai wanita yang menjadi sugar baby, malah dikatakan 14,000 daripadanya penuntut institusi pengajian tinggi.

Apa tujuan mereka menjadi sugar baby, adakah kerana mahu hidup mewah, mahu perhatian atau ada alasan lain?

Ikuti wawancara Penyelidik, Laboratori Kewarganegaraan dan Kepimpinan Belia Universiti Putra Malaysia (UPM) yang juga pensyarah Psikologi, Fakulti Ekologi Manusia PROF MADYA DR HANINA HALIMATUSSADIAH HAMSAN bersama Pengarang Berita NAZARALI SAERIL bagi mengulas isu ini.

Kecenderungan wanita atau gadis masa kini untuk menjadi sugar baby. Komen?

Istilah sugar baby lebih popular selepas industri keusahawanan digital mula berkembang rancak terutama pada 2015 apabila laman sesawang Seeking Arrangement mendakwa bahawa mereka mempunyai lebih 1.4 juta pelajar yang berdaftar sebagai ahli.

Jadi siapa dia sugar baby? Apakah perlakuan yang dilakukan sehingga seseorang itu digelar sebagai sugar baby?

Sugar baby adalah istilah yang digunakan merujuk kepada seseorang yang menerima bayaran daripada pasangannya yang lebih berusia yang kebiasaannya dalam kalangan orang berada sama ada dikenali sebagai sugar daddy atau sugar mama.

Jika berdasarkan definisi ini, sugar baby tidak hanya merujuk wanita atau gadis sahaja sebagai pelakunya.

Lelaki juga terbabit cuma mereka lebih dikenali sebagai anak ikan.

Jika kita lihat lebih jauh lagi garis masa ke belakang, sejarah juga menunjukkan watak sugar baby wujud sekian lama dengan istilah berbeza seperti gundik, selir atau perempuan simpanan.

Apa-apa pun istilah diguna kepada golongan ini, ia merujuk kepada aktiviti sama iaitu 'menawarkan perkhidmatan sebagai teman sosial seolah sebagai pasangan intim dan ianya berbayar.'

Aktiviti yang dilakukan lebih kepada pelencongan seksual sama ada sekadar dating, bercumbuan hingga ke tahap perhubungan seksual.

Ini semua disebut sebagai sugaring yang matlamatnya memberi kepuasan emosi dan seksual kepada pasangannya.

Bayaran diterima dalam pelbagai bentuk seperti wang, kereta dan rumah.

Jika dalam kes rasuah, nilai yang diberi dikatakan sebagai 'duit kopi.'

Manakala dalam kes ini, nilaian yang diberi dikatakan sebagai 'bayaran pemanis.'

Di situ timbulnya istilah sugar dalam bahasa Inggeris. Manakala baby adalah pelakunya dan mereka golongan lebih muda berbanding pasangannya dengan rupa paras yang tertentu.

Apa yang membimbangkan adalah apabila salah satu laman sesawang menawarkan khidmat sugar baby-sugar daddy dengan fokus kepada wanita muda melaporkan kebanyakan ahli mereka berusia antara 19 hingga 33 tahun.


Sanggup jadi sugar baby. Adakah kerana mahu tingkatkan imej diri daripada 'pakaian orang miskin' kepada 'pakaian orang kaya'?

Jika tiada permintaan, maka tiadalah tawaran. Jika tiada sugar daddy/mama, maka tiadalah sugar baby.

Namun zaman berubah dan manusia lebih melihat kepada ruang serta peluang.

Dalam konteks sugar baby ini, perkhidmatan sugaring dilihat sebagai suatu bentuk peluang golongan terdesak mahukan pulangan lumayan dalam masa singkat dengan pelbagai aplikasi mudah sedia ada.

Jika golongan bekerja, peluang jalan singkat yang mereka nampak mungkin dengan perlakuan penawaran dan penerimaan rasuah atau jual beli bahan terlarang.

Namun, bagi mereka yang memerlukan sara hidup, tetapi tidak mempunyai pekerjaan, mungkin sugaring dikatakan jalan mudah dan selamat.

Mengapa seseorang sanggup jadi sugar baby? Dalam konteks psikologi, setiap manusia bertingkah laku berdasarkan kerangkaan pemikirannya sendiri.

Apa yang kita fikir, memberi kesan kepada emosi dan tingkah laku kita.

Bagaimana cara manusia berfikir pula mempunyai peringkat tersendiri.

Berdasarkan Model Peringkat Pemikiran yang dibangunkan profesor psikologi dan pengamal Pemprograman Neuro-Linguistik (NLP), Dr Robert Dilts, ada enam peringkat pemikiran iaitu persekitaran, tingkah laku, keupayaan, nilai dan kepercayaan, identiti serta spiritual.

Dalam kajian kes, berikut contoh bentuk pemikiran yang mendorong kepada perlakuan sugar baby.

1. Mengapa anda menjadi sugar baby?

Ia hal saya, kubur masing-masing.

Saya buat begitu sebab perlukan wang. Saya mahu orang lihat saya sebagai seorang yang kaya, bergaya.

Kerana rakan saya kebanyakan orang yang berada.

Ulasan: Pelaku terpengaruh kepada persekitaran luar. Melakukan sesuatu untuk dilihat hebat atau menarik oleh orang lain.

2. Apa yang anda lakukan untuk dilihat sebagai seorang yang kaya ataubergaya?

Untuk mereka lihat saya sebagai seorang yang kaya, saya mesti berpakaian seperti seorang yang kaya.

Pakaian, solekan, beg tangan, apa yang saya makan dan minum, kereta….semua mesti nampak saya sebagai seorang yang kaya.

3. Untuk kelihatan begitu, anda mesti memerlukan kos yang besar. Apakah keupayaan yang anda gunakan untuk mendapatkan sumber kewangan?

Saya belum bekerja dan masih belajar. Selain kos gaya hidup, saya juga perlu mencari wang untuk kos pembelajaran.

Saya tidak mahu orang tahu yang saya susah.

4. Jadi, jika anda tiada kemahiran untuk nilai tambah mencari sumber kewangan, bagaimana anda mendapatkan wang?

Saya tidak mahu terbabit dalam jenayah lain. Silap langkah ke tali gantung.

Saya ada paras rupa cantik. Jadi apa yang saya boleh buat, ada pihak kenalkan saya dengan aplikasi tertentu.

Dalam hal ini, pelaku walaupun masih rasional kerana memikirkan kesan akibat jenayah sekiranya dia terbabit dalam perkara itu.

Sugar baby mahu jadi umpama 'Cinderella' namun sebenarnya jadi mangsa pemangsa seksual. Komen?

Sebenarnya fenomena ini menyedihkan apatah lagi ia membabitkan anak muda kita.

Satu hari nanti mereka akan menjadi ibu. Mereka juga menjadi penyambung kepemimpinan negara masa hadapan.

Ketika mereka buat keputusan menjadi sugar baby, mereka tidak sedar kesan dan akibat.

Itu adalah sudut titik buta yang mereka tidak tahu tentang diri mereka.


Peranan ibu bapa dalam membentuk sahsiah anak, khasnya anak perempuan, dalam isu ini?

Didikan awal dari rumah sangat penting. Ibu bapa contoh anak-anak. Sebab itu, perkara pertama perlu diajar kepada anak mengenali Tuhan terlebih dahulu berbanding perkara lain.

Kedua adab dan ketiga ilmu pengetahuan. Jadi, agama dan adab (nilai baik) merupakan akar tunjang dalam kehidupan.

Satu perkara yang mungkin ibu bapa terlepas pandang adalah pendidikan seksual dan reproduktif dalam kalangan anak-anak.

Ketika saya terbabit dalam kajian nasional berkaitan tingkah laku seksual dan kesihatan reproduktif dalam kalangan remaja pada 2010, saya dapati antara faktor remaja terbabit dalam salah laku seksual antaranya ialah:

1. Kurang kasih sayang di rumah.

2. Ingin tahu. Ibu bapa malu untuk menerangkan proses perubahan biologi dan reproduktif anak.

Akibatnya, anak meneroka sendiri menerusi internet dan rakan sebaya.

3. Penggunaan telefon pintar.

Ketagihan seks hasil tontonan video dan gambar.

Dalam konteks keibubapaan, berapa ramai antara ibu bapa beri kefahaman kepada anak perempuan tentang kepentingan menjaga maruah diri?

Berapa ramai mengajar anak menutup aurat dan menjaga anggota tubuh daripada disentuh orang yang tidak sepatutnya?

Berapa ramai ibu bapa yang ambil tahu aplikasi dan kandungan dalam telefon bimbit atau komputer anak?

Saya kira ini antara soalan asas boleh dijadikan panduan ibu bapa dalam melindungi anak daripada terbabit dalam perkara sebegini.


Rakan sekeliling antara faktor gadis terjebak menjadi sugar baby?

Rakan sekeliling memang antara faktor mempengaruhi siapa kita dan mengapa kita melakukan sesuatu perkara itu.

Namun sekiranya setiap individu dibesarkan dengan didikan agama dan sahsiah yang baik, saya percaya persekitaran tidak dapat mempengaruhinya.

Jika orang lain boleh mempengaruhi kita melakukan perkara tidak baik, mengapa kita tidak mampu mempengaruhi orang lain untuk melakukan perkara baik?

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Februari 2021 @ 7:10 AM