Abd Rahman (tengah) diiringi Abdul Aziz (tiga kiri) beramah mesra bersama dengan anggota polis serta kakitangan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) ketika menghadiri Seminar Pencegahan Jenayah Dalam Kalangan Remaja dan Peranan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah Peringkat Negeri di Dewan Utama JPN Kota Bharu. FOTO Mohd Faris Zainuldin

Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Pengaruh rakan sebaya menjadi faktor utama remaja di Kelantan terbabit dalam kes juvana yang menyaksikan peningkatan tahun ini berbanding tahun lalu.

Statistik pada Januari hingga Jun lalu menyaksikan 35 kes direkodkan, meningkat 12 kes berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jenayah dilakukan yang paling utama adalah kekerasan dan curi harta benda.

Ketua Polis Kelantan Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, bagi tempoh itu juga seramai 45 remaja ditangkap berusia antara 13 hingga 18 tahun.

"Kita mendapati peningkatan kes ini kerana pengaruh rakan sebaya, terikut dengan bahan dilayari di laman sosial dan kurang ilmu pengetahuan.

"Diharapkan ibu bapa dan penjaga dapat mengawasi anak mereka dengan lebih baik bagi mengelak terjebak dengan kegiatan tidak sihat.

"Dapatkan bantuan pakar sekiranya mereka sudah tersasar jauh," katanya selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah Dalam Kalangan Remaja Dan Peranan Kelab Pencegahan Jenayah Sekolah Peringkat Negeri di Dewan Sri Tunjong, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) Kelantan Datuk Abd Aziz Nawi dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Datuk Ab Aziz Abdullah.

Seramai 200 pelajar sekolah menyertai seminar berkenaan yang diadakan sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 9:21 PM