Syafil Syazwan Jefri


Penyanyi yang popular dengan lagu Terima Kasih Cinta, Tasha Manshahar akan turut memeriahkan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt di Padang MPK3, Kuantan, Pahang, Sabtu ini.

Walaupun kurang sihat, Tasha tetap melakukan persiapan rapi untuk acara itu.

“Beberapa hari lalu, mata saya masuk habuk dan membengkak selepas digosok.

“Pada awalnya saya sangkakan hanya gatal-gatal biasa tetapi apabila bengkak beberapa hari, saya ke klinik untuk buat pemeriksaan lanjut.

“Doktor mengesahkan mata terkena jangkitan kuman dan beberapa bahagian sudah calar. Keadaan lebih teruk apabila saya kerap pakai kanta lekap, jadi jangkitan menular,” katanya.

Kata Tasha, disebabkan jangkitan itu ditambah lagi dengan cuaca panas melampau, dia mula demam.

“Doktor menasihati saya supaya berehat buat seketika dan kurangkan aktiviti luar. Doktor bekalkan saya beberapa ubat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai persediaan, Tasha berkata dia tetap meneruskan latihan dan sudah bersedia untuk beraksi untuk konsert nanti.

“Walaupun sakit, ia tidak menghalang saya melakukan latihan. Insya-Allah saya akan menyanyikan lagu Terima Kasih Cinta dan satu lagi lagu kejutan.

“Kalau orang Kuantan mahu tahu lagu apa yang akan saya alunkan Sabtu nanti, datanglah ke Padang MPK3,” katanya.

Sambung Tasha, jika sebelum ini dia hanya membaca akhbar Harian Metro, siapa sangka kali ini dia menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun jubli perak akhbar nombor satu Malaysia ini.

“Tak dapat digambarkan dengan kata-kata betapa gembiranya saya apabila berpeluang menyertai siri jelajah bersama Harian Metro.

“Sebelum ini, saya pernah beberapa kali menjayakan persembahan di Kuantan dan masyarakat di sana memang ‘sporting’. Reaksi positif itu sedikit sebanyak membantu saya untuk turut sama berseronok ketika beraksi atas pentas,” katanya.

Selain Tasha, artis popular tanah air, Radhi OAG, Drama Band, Syamel AF2015, Forteen serta dua pendatang baru, Fahd Ezuan dan Deen Asimi turut sama memeriahkan Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang bermula pada jam 8 malam.

Selain dapat berhibur, pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah lumayan cabutan bertuah antaranya TV LED 40”, Samsung Galaxy Tab, Samsung Galaxy J1 Ace dan lima Air Cooler.

Acara ini turut dijayakan bersama rakan penaja, Yeo Hiap Seng Trading Sdn Bhd, Malaysia Airlines Berhad, air mineral semulajadi Cactus, Unilever Food Solutions, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd, GCH Guardian, Bank Rakyat, Grab, DRB-Hicom University of Automotive Malaysia dan AmBank Group.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Mac 2016 @ 8:36 AM