PENUNJUK perasaan di London.
PENUNJUK perasaan di London.
TUNJUK perasaan di Zurich dengan peserta membawa kain rentang tertulis ‘Pelarian, Selamat Datang.’
TUNJUK perasaan di Zurich dengan peserta membawa kain rentang tertulis ‘Pelarian, Selamat Datang.’
AFP

London: Penunjuk perasaan menyuarakan sokongan mereka terhadap pendatang di jalanan di ibu negara Eropah, sehari selepas Kesatuan Eropah (EU) dan Turki menandatangani perjanjian bagi menangani krisis penghijrahan terbesar di benua itu sejak Perang Dunia Kedua.

Ribuan orang berarak di London, Athens, Barcelona, Vienna, Amsterdam dan beberapa bandar di Switzerland sebaik Greece merangka langkah diperlukan untuk menguatkuasakan perjanjian yang dimeterai pada sidang kemuncak di Brussels pada Jumaat lalu.

Mengikut perjanjian itu, pendatang yang tiba di Greece dari Turki bermula tengah malam semalam, berdepan kemungkinan dihantar semula ke Turki.

EU akan mengambil seorang pelarian Syria dari Turki sebagai pertukaran untuk setiap pendatang Syria yang pulang dari Greece sebagai usaha untuk tidak menggalakkan pendatang mempertaruhkan nyawa mereka menyeberangi Laut Aegean dengan bot penyeludup.

Di London, kira-kira 4,000 orang menyertai bantahan dengan membawa sepanduk dengan slogan seperti ‘pelarian dialu-alukan di sini’ dan ‘kami menentang perkauman.’

Sementara itu, di Athens, polis berkata, lebih 1,500 orang berarak di jalanan manakala media menganggarkan sehingga 3,000 yang hadir.

Penunjuk perasaan yang termasuk pelarian Afghanistan, wanita dan kanak-kanak, melaungkan ‘buka sempadan’ dan ‘kami manusia, kami ada hak.’

“Kami menyeru kerajaan Greek untuk berhenti daripada bersekongkol dengan dasar anti-pelarian EU,” kata aktivis propelarian, Thanassis Kourkoulas.

Menurut polis, satu lagi bantahan di utara bandar Thessaloniki menarik sekitar 500 orang.

Dalam pada itu, ribuan orang berarak di Barcelona, membawa sepanduk dengan slogan ‘tiada seorang pun adalah haram’, manakala di Vienna dianggarkan sehingga 2,500 orang peserta memprotes.

Tunjuk perasaan turut diadakan di Amsterdam, Geneva selain bantahan kecil di bandar-bandar Switzerland yang lain seperti Zurich dan Lucerne.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 7:39 AM