GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
AFP

Istanbul: Turki menuduh Greece penyebab 12 pendatang maut di sempadan negara akibat cuaca sejuk.

Turki mendakwa, Greece dipercayai menanggalkan pakaian pelarian terbabit dan menghalau mereka balik ke sempadan Turki hingga menyebabkan kematian mereka kerana kesejukan.

Tuduhan itu dilemparkan Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu sekali gus mengancam ketegangan antara saingan pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato).

Mereka juga menekankan kebimbangan Ankara tentang Kesatuan Eropah (EU) tidak melakukan tindakan sewajarnya untuk membantu Turki yang menempatkan kira-kira lima juta pendatang dan pelarian dalam menghadapi kemungkinan aliran baru penduduk dari Afghanistan.

Soylu menyiarkan imej kabur di Twitter yang menunjukkan mayat terbaring di tepi jalan.

"Dua belas daripada 22 pendatang yang ditolak oleh unit sempadan Greece, mati beku, selepas dilucutkan (pakaian) dan kasut mereka.

"EU tidak dapat diperbaiki, lemah dan tidak berperikemanusiaan," katanya dalam bahasa Inggeris.

Soylu menjelaskan, gambar itu diambil berhampiran bandar sempadan barat Turki, Ipsala.

Pejabat gabenor wilayah berkata, 11 daripada pendatang itu ditemui mati beku, manakala seorang lagi pelarian dikejarkan ke hospital tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia.

Krisis antara Ankara dengan Athens berlaku apabila Turki mula menerokai gas asli di perairan Mediterranean timur yang dituntut oleh Greece dan Cyprus 2020.

Ketegangan ini ditambah lagi dengan dakwaan Ankara bahawa Greece melanggar konvensyen antarabangsa dengan memintas bot pendatang di Aegean sebelum menghantarnya pulang ke Turki.

Perkhidmatan pengawal pantai Turki berkata, bulan lalu saja, pihaknya menyelamatkan lebih 15,000 pendatang yang ditolak pulang Greece pada tahun lalu.

Pasukan penyelamat menemui 15 mayat pendatang.

Athens sebaliknya menafikan melanggar konvensyen antarabangsa dan menegaskan mereka menjalankan tugas untuk melindungi sempadan tenggara EU daripada lintasan haram.

Pejabat gabenor Turki yang bertanggungjawab untuk keselamatan di sempadan Greece berkata, pegawai kehakiman menjalankan siasatan rasmi keadaan kematian pendatang itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 2:36 PM