AFP

ROME: Ratusan ribu kanak-kanak dan orang muda mengadakan bantahan di bandar-bandar Eropah terhadap malapetaka iklim, hari ini.

Pelajar sekolah antara peserta perhimpunan ‘Jumaat untuk Masa Depan’ dan mereka membawa sepanduk sambil menjerit slogan.

Penganjur berkata kira-kira 200,000 orang menyertai perhimpunan di Milan, sementara satu lagi bantahan besar-besaran turut diadakan di pusat Rome.

Bantahan diseru di sekitar 180 bandar di Itali.

Di Austria pula, puluhan ribu orang turut berarak di Vienna dan beberapa bandar lain, menjadikan perhimpunan iklim itu yang terbesar di negara terbabit.

Sementara di Budapest, ribuan pembantah yang sebahagian besar daripadanya adalah murid sekolah memenuhi jalan raya.

Mereka bertindak balas terhadap seruan remaja Sweden, Greta Thunberg yang mengetuai bantahan terhadap perubahan iklim.

Thunberg memimpin perhimpunan besar pertama pada minggu lalu ketika orang ramai memenuhi jalan raya di bandar seluruh dunia.

Saintis memberi amaran kepada pemimpin dunia untuk membendung pemanasan global yang berpunca daripada peningkatan bencana alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 12:52 AM