PELARIAN mengatakan sesuatu kepada polis Macedonia sebelum menaiki kereta api ke Serbia di Gevgelija, Macedonia, yang cuma membenarkan pelarian Syria serta Iraq melintasi sempadannya.
PELARIAN mengatakan sesuatu kepada polis Macedonia sebelum menaiki kereta api ke Serbia di Gevgelija, Macedonia, yang cuma membenarkan pelarian Syria serta Iraq melintasi sempadannya.
Reuters

Idomeni (Greece): Pendatang yang mendukung anak kecil menyekat lebuh raya di tengah Greece semalam, mendesak dibenarkan meneruskan perjalanan ke Macedonia - sebahagian daripada pelarian yang semakin terdesak akibat terkandas disebabkan sekatan dan penutupan sempadan di negara Eropah.

Orang ramai melaungkan ‘kami mahu pergi’ selepas polis menghalang konvoi mereka di Tempe, berikutan Greece meningkatkan langkah bagi mengawal orang ramai yang melintasi wilayahnya untuk ke negara di utara yang lebih kaya.

Wartawan Reuters melihat beberapa kumpulan lain berhimpun di stesen minyak dan hotel lebuh raya sepanjang 530 kilometer dari Athens ke Macedonia, di mana pengawal membuka sempadan selama sejam semalam untuk membenarkan cuma 100 orang masuk.

Athens membantah sekatan dikenakan negara di utara di laluan pelarian di Eropah, termasuk sempadan Austria dengan Slovenia dan Macedonia dengan Greece.

Menteri Luar Austria Sebastian Kurz tidak mengendahkan kritikan dilemparkan terhadap negaranya yang merancang mengehadkan kemasukan harian pendatang, malah semalam menegaskan Greece patut membuat sesuatu untuk mengurangkan alirannya.

Lebih sejuta pendatang dan pelarian melalui Greece tahun lalu, kebanyakannya melarikan diri daripada konflik di Syria serta Afghanistan. Seramai 1,600 lagi tiba di tanah besar dari pulau-pulau di Turki, semalam.

Polis Greece diarahkan menghentikan bas membawa pendatang daripada menuju ke Idomeni di sempadan Macedonia, kata seorang pegawai semalam.

“Tiada sesiapa pergi ke Idomeni hari ini (semalam). Saya tidak akan melepaskan satu bas sekalipun sehingga mendapat maklumat Skopje membenarkan orang ramai masuk,” kata ketua jabatan imigresen kementerian ketenteraman awam Konstantinos Louziotis.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 8:05 AM