Hadzlihady Hassan


Tasek Gelugor: Empat pelatih melarikan diri daripada Pusat Serenti Kampung Selamat, Tasek Gelugor, di sini, malam tadi.

Semua pelatih berusia 20 hingga 32 tahun itu didapati melarikan diri kira-kira jam 11 malam.

Mereka juga dikatakan turut melarikan sebuah kereta milik saudara seorang daripada pelatih terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara, Asisten Komisioner Azmi Adam mengesahkan kejadian terbabit.

"Polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sedang mengesan semua pelatih terbabit.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 Mac 2016 @ 3:17 PM