Abdunkode (kiri) dan Marosi dipenjara 7 hari dan denda RM10,000 selepas mengaku memberi rasuah di Mahkamah Sesyen tadi. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Abdunkode (kiri) dan Marosi dipenjara 7 hari dan denda RM10,000 selepas mengaku memberi rasuah di Mahkamah Sesyen tadi. FOTO Muhamaad Razis Ismail
Muhamaad Razis Ismail


Kota Bharu: Dua warga Thailand dipenjara tujuh hari dan denda RM10,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, terhadap tuduhan memberi rasuah RM180 kepada pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kelmarin.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh Abdunkode Koya, 33 dan Marosi Peeyoh, 31, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap pada 15 Mac 2016.

Mengikut pertuduhan kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memberi rasuah RM180 kepada Pembantu Ketua Penguatkuasa JPJWan Syafiq Baqtiar Wan Abdul Rahim sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap van yang membawa penumpang Thailand masuk ke Malaysia tanpa Lesen Kenderaan Memandu dan tanpa insuran.

Kesalahan dilakukan di hadapan sebuah stesen minyak Rantau Panjang pada jam 7 petang.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan dihukum di bawah seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2016 @ 1:04 PM