MUHAMMAD Israr (kanan) dipenjara dua bulan dan denda RM10,000 terhadap tuduhan menawarkan suapan RM200 kepada Inspektor polis. FOTO Zaman Huri Isa
MUHAMMAD Israr (kanan) dipenjara dua bulan dan denda RM10,000 terhadap tuduhan menawarkan suapan RM200 kepada Inspektor polis. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail


“Tolong ‘adjust’ tuan,” kata seorang penjual karpet sebelum menghulurkan wang kepada Inspektor polis, Jun lalu.

Tindakan Muhammad Israr Badshah Khan, 35, itu membawa padah apabila dia dijatuhi hukuman penjara dua bulan dan denda RM10,000 terhadap tuduhan menawarkan suapan RM200 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan hukuman berjalan daripada tarikh tangkap pada 30 Jun lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menawarkan suapan RM200 kepada Inspektor Khairul Anuar Rahim yang bertugas di Balai Polis Pengkalan Chepa sebagai dorongan tidak mengeluarkan saman bagi kesalahan memandu tanpa lesen.

Kesalahan dilakukan di sekatan jalan raya di Jalan Teluk Panji, Pengkalan Chepa, di sini pada jam 10.30 malam, 29 Jun 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika polis sedang membuat sekatan jalan raya, kereta Perodua Kancil berhenti di bahu jalan.

Inspektor Khairul Anuar bersama beberapa anggota pergi ke kereta itu dan meminta tertuduh menunjukkan pengenalan diri dan lesen memandu.

Tertuduh gagal mengemukakan lesen memandu dan mengaku tidak memiliki lesen sebelum menghulurkan wang biarpun dilarang berbuat demikian.

Tertuduh kemudian ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu.

Terdahulu peguam Roshalizawati Muhammad yang mewakili tertuduh memohon hukuman minimum mengambil kira pengakuan salah dan kesalahan pertama.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan memohon hukuman setimpal untuk memberi pengajaran kepada orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

Gambar Zaman Huri Isa

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 September 2018 @ 12:36 PM