FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Muhamaad Razis Ismail


DUA beradik dipenjara dan didenda RM50,000 di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, selepas mengaku salah memberi suapan RM10,000 kepada seorang pegawai polis, Mei lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman penjara dua tahun terhadap Wan Mohd Faizal Wan Marzuki, 31, dan setahun terhadap Wan Mohd Fikri, 33, yang mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 15 bulan, sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, Wan Mohd Faizal didakwa memberi suapan RM10,000 kepada Pegawai Kanan Polis Batalion 9, Pasukan Gerakan Am (PGA), Kubang Badak, Terengganu, Inspektor Rozaimi Bakhtiar sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap dirinya yang memiliki 787 kilogram daun ketum.

Kesalahan itu dilakukan di Kampung Kedondong, Pasir Mas, 10 malam, pada 27 Mei 2019.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Wan Mohd Fikri pula didakwa menyediakan wang RM10,000 untuk diberikan secara rasuah kepada Rozaimi pada masa dan lokasi sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 28 (1) (b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun.

Terdahulu, kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana sudah insaf dan perlu menyara keluarga

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Adha Amir Yasser Amri memohon hukuman berat dengan mengambil kira kepentingan awam dan kesalahan serius.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 12:48 PM