NAD akui tidak pandai memasak tapi suka mengemas rumah.
NAD akui tidak pandai memasak tapi suka mengemas rumah.
Syanty Octavia Amry


Sejak mendirikan rumah tangga Disember tahun lalu, banyak perubahan dialami pelakon Nad Zainal, 26, dan dia bersyukur dianugerahkan suami yang memahami dirinya.

Masih melalui proses menyesuaikan diri sebagai isteri, Nad berharap suami, Muhammad Faliq Amirudin, 28, ikhlas menerima dirinya dan sentiasa membantu apa yang diperlukan.

“Sebelum berkahwin saya sudah beritahu suami apa yang saya suka dan tidak suka. Contohnya saya tidak pandai memasak dan bukanlah seorang yang pakar bab memasak.

“Justeru, dia faham dan biasanya apabila sibuk bekerja dan pulang ke rumah waktu malam kami hanya makan di luar.

“Lagipun kami hanya berdua, kalau masak banyak-banyak pun hanya membazir saja. Biarpun tidak pandai memasak, saya seorang yang suka me­ngemas rumah. Minat saya lebih ke arah menghias rumah berbanding memasak di dapur,” katanya.

Bagaimanapun, Nad tetap akan berusaha belajar memasak dengan ibu mentuanya tetapi belum sempat dilakukannya.

“Insya-Allah jika ada peluang saya memang teringin belajar memasak dengan ibu mentua, tetapi kesibukan kerja membataskan peluang itu.

“Setiap orang yang baru berkahwin akan melalui banyak perubahan, semoga saya terus diberi peluang untuk melakukan yang terbaik dalam rumah tangga,” katanya.

Terus aktif berlakon

Mengulas mengenai watak lakonannya selepas bergelar isteri, Nad berkata, suami tiada sebarang masalah.

“Alhamdulillah suami tidak membataskan lakonan saya, lagipun setakat ini saya belum diberikan watak seksi yang keterlaluan.

“Saya menerima satu tawaran iaitu watak cikgu seksi tetapi masih dalam proses perbincangan.

“Melihat naskhahnya, ia sangat menarik untuk saya cuba tapi keputusannya lihat sajalah nanti,” katanya.

Nad kini sedang menjalani penggambaran drama bersiri 13 episod berjudul Antara Dua Dunia gandingan bersama Izzue Islam.

Drama berkenaan akan ditayangkan di TV AlHijrah bermula 1 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 6:05 AM