KINI tumpu pertahan bakat dimiliki dengan beri yang terbaik setiap kali berlakon.
KINI tumpu pertahan bakat dimiliki dengan beri yang terbaik setiap kali berlakon.
Norhayati Nordin


Pengalaman terpalit dengan pelbagai kontroversi yang pernah menghambat dirinya sebelum mendirikan rumah tangga pada Disember lalu, cukup memberi kesan mendalam buat pelakon Nad Zainal, 26.

Nad atau nama sebenar, Farah Nadia Zainal Abidin memaklumkan kini dia lebih selesa memberi tumpuan kepada kerjaya dan terus mempertahankan bakat dimiliki.

“Justeru, soal sama ada diri saya masih diminati atau tidak, itu biarlah peminat yang tentukan. Saya serahkan segala keputusan kepada mereka (peminat).

“Dengan apa yang sudah saya lalui sebelum ini, bagi saya populariti diperoleh bersifat sementara. Apa yang perlu diberi perhatian sekarang adalah mempertahankan bakat dimiliki dengan memberikan yang terbaik setiap kali berlakon agar karier seni dapat diteruskan. Lagipun, bagi saya perkara membabitkan minat ini tidak boleh dipaksa-paksa,” katanya.

Pelakon bertubuh genit dan berwajah comel itu juga menegaskan, dia sentiasa menginginkan watak berkarakter agar apabila ditonton kelak dapat memberi impak.

Nad yang pernah merangkul anugerah Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH 2014 (ABPBH 2014) berkata, fokusnya kini adalah kerja.

“Terus-terang, saya bukan jenis individu yang suka ambil peduli dengan perihal kontroversi. Bagi saya, bakat adalah penentu pada kemajuan karier.

“Pun begitu, biasanya tidak semua orang akan selesa dengan pendekatan yang kita pilih. Jadi, apa yang pernah dilalui itu biarlah berlalu dan usah lagi dikenang,” katanya.

Nad yang kini bahagia berkongsi hidup dengan suami, Muhamad Faliq Amirudin, 28, berkata, sekarang dia mahu memberi tumpuan pada lembaran baru hidupnya.

“Status sebagai isteri sekarang nyata membuatkan kehidupan saya lebih tenang, teratur dan selamat walau ke mana saja saya berada. Ditambah, urusan membabitkan karier seni saya sekarang diuruskan sepenuhnya oleh suami. Saya berasa sangat bertuah dan bersyukur dengan perkembangan ini.

“Allah yang menganugerahkan saya suami cukup memahami. Bahkan, dia (suami) juga tidak menghalang saya untuk terus aktif berlakon.

“Cuma, sebagai isteri saya perlu bijak membawa diri. Oleh itu, seiring dengan kematangan usia saya harus bersikap memilih membabitkan watak mahu dijayakan supaya bersesuaian dengan perkembangan kerjaya dan usia. Sekarang saya tidak lagi sesuai melakonkan watak pelajar kolej,” katanya.

Waktu sama kata Nad, dia sangat memberi perhatian dalam soal menjaga perasaan suami dan keluarga. Ujarnya, apabila sudah berumah tangga pastinya situasi sudah jauh berbeza berbanding sewaktu dia bujang dulu.

Mengulas mengenai rezeki cahaya mata, Nad berkata dia dan suami tidak pernah merancang untuk memperoleh zuriat.

“Kami berdua sukakan kanak-kanak. Jadi, sudah pasti kehadiran cahaya mata dalam rumah tangga kami sangat diharapkan. Lagi cepat lagi bagus. Ditambah, tiada sebab juga untuk saya dan suami membuat perancangan keluarga kerana usia masing-masing pun semakin meningkat,” katanya.

Menurut Nad, jika dia disahkan hamil suatu hari nanti semestinya berita itu takkan disembunyikan. Katanya, tiada salah untuk dia berkongsi cerita yang baik.

Berbicara juga mengenai perkembangan kariernya, Nad berkata dia baru selesai menjalani penggambaran telefilem istimewa Aidilfitri terbitan Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Apa judul telefilem itu, katanya ia perlu dirahsiakan atas permintaan syarikat penerbitan. Apapun, Nad mengakui dia tidak cerewet apabila bekerja asal saja watak dibawakan itu kena dengan kehendak dan menarik untuk dilakonkan.

“Meskipun saya sudah sering melakonkan watak utama, tidak semestinya karakter pembantu ditawarkan perlu ditolak. Pada saya, jika sesuai apa salahnya diterima.

“Sebenarnya, watak utama atau pembantu bukan menjadi kepentingan dalam berkarya. Apa yang perlu diberi perhatian adalah bagaimana karakter itu dipersembahkan dalam lakonan,” katanya.

Seperti kebanyakan selebriti tempatan lain yang membabitkan diri dalam perniagaan, Nad juga tidak ketinggalan melakukan perkara sama. Pada Mac lalu, dia memperkenalkan produk makanan kesihatannya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 6:47 AM