MUNUSAMY (tengah) menunjukkan imej suspek yang diperoleh daripada rakaman CCTV. FOTO Zulfadhli Zulkifli
MUNUSAMY (tengah) menunjukkan imej suspek yang diperoleh daripada rakaman CCTV. FOTO Zulfadhli Zulkifli
Fardy Bungga dan Noor Ainum Ibnu Hajar Abu Seman


Kuala Lumpur: Polis memburu 11 individu termasuk seorang wanita behubung dua kejadian samun kedai serbaneka berasingan di Kampung Batu Lima dan Taman Kok Lian, Jalan Ipoh, di sini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, imej semua suspek berusia 20-an itu diperoleh daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kedua-dua premis berkenaan.

Katanya, kes pertama dilaporkan berlaku di Kampung Batu Lima pada 16 Februari lalu membabitkan tiga lelaki bersenjatakan kayu yang menyamun wang tunai dan beberapa barangan bernilai RM1,300.

"Kes kedua berlaku di Taman Kok Lian membabitkan tujuh lelaki dan seorang wanita yang membelasah dua pekerja kedai berusia 18 tahun sebelum menyamun wang tunai sebanyak RM657.

"Dalam kejadian ini, seorang daripada mangsa parah dan terpaksa menerima 10 jahitan di kepala selepas dipukul menggunakan empat botol arak," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 akta yang sama.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek boleh membantu menyalurkan maklumat di talian 03-4048 2222 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 2:45 PM