Hafidzul Hilmi Mohd Noor


TIGA penjenayah terbabit kemalangan selepas merompak kedai emas di sebuah pasar raya di Manjalara, Kepong semalam.

Bagaimanapun mereka yang memakai topi keledar dan topeng muka itu berjaya melarikan diri dengan bantuan seorang lagi rakan jenayah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, kemalangan itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang berdekatan dan ‘dash cam’ kereta yang datang dari arah bertentangan.

“Suspek meninggalkan motosikalnya jenis Yamaha LC135. Polis merampas beg hitam mengandungi barang kemas dipercayai barang yang dirompak selain pisau, sarung tangan biru dan topeng muka.

“Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek masuk melalui pintu kecemasan di tingkat satu pasar raya itu dengan menggunakan pemutar skru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mazlan berkata, usaha mengesan dan menangkap suspek giat dijalankan berdasarkan rakaman CCTV, motosikal dan barangan lain yang ditinggalkan.

“Suspek tak berjaya melarikan barang kemas akibat kemalangan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-4048 2225 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 11:16 PM