Hafiz Ithnin

Kuala Lumpur: Malaysia menyasarkan sumbangan 20 peratus ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020 berbanding 17 peratus yang dicatatkan pada 2014 didorong aktiviti ekonomi digital yang lebih meluas dalam kalangan sektor awam dan swasta serta peningkatan penggunaannya dalam kalangan rakyat tempatan.

Sumbangan ekonomi digital kepada KDNK Malaysia meningkat dari tahun ke tahun dengan prestasi setakat 2014 sebanyak 17 peratus yang berkembang daripada 16 peratus pada tahun sebelumnya dan dijangka mampu mencatatkan pertumbuhan 18 peratus pada 2015.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, pengenalan pelbagai program keusahawanan tempatan oleh kerajaan yang menggunakan sistem digital sebagai platform pemasaran dan perkembangan perniagaan juga dilihat sebagai salah satu usaha berterusan bagi merancakkan penggunaannya dalam kalangan rakyat.

Beliau berkata, malah penggunaan teknologi digital dalam perkhidmatan yang digunakan oleh sektor awam turut membantu melancarkan operasi ketika berurusan dengan orang ramai.

“Bagi memastikan setiap rakyat Malaysia menjadi penyumbang dalam ekonomi digital ini, kerajaan menerusi Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) turut melaksanakan pelbagai aktiviti galakan perniagaan kepada golongan B40 iaitu kelompok 40 peratus penduduk pendapatan terendah menerusi teknologi digital.

“Kita juga dapat melihat pada peringkat perkembangan terkini apabila banyak syarikat pemula menjadikan teknologi digital sebagai platform penting mengembang dan memasarkan produk mereka,” katanya selepas menghadiri seminar Laporan Pembangunan Bank Dunia 2016: Dividen Digital di sini, semalam.

Laporan Bank Dunia mengenai digital dividen itu menjelaskan mengenai perkembangan teknologi dividen digital serta manfaatnya terhadap ekonomi dunia. Dokumen itu turut menekankan keperluan bagi strategi pembangunan digital yang lebih meluas berbanding strategi teknologi maklumat serta pengkomputeran selain kepentingan mewujudkan persekitaran sewajarnya bagi perkembangan teknologi.

Mohd Irwan berkata, manfaat lain yang boleh diperoleh daripada penggunaan teknologi digital dalam perniagaan adalah usahawan tidak memerlukan suntikan pelaburan besar tetapi mampu menerima kesan posiitif yang besar dalam jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Mac 2016 @ 8:59 AM